KENINGAU: Persatuan Gana Sabah (PGS) melahirkan rasa bangga dan teruja dengan pelantikan figura ikonik, Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11.
Pelantikan itu mencatat sejarah tersendiri apabila Tun Musa, seorang pemimpin berwawasan yang berasal daripada etnik Dusun Gana Kujau, Bingkor, Keningau diamanahkan untuk menggalas peranan penting menggantikan Tun Juhar Mahiruddin, yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember ini.
Presiden PGS, Ahmad Razalie @ Titus Andrew Selabin Sapawan bersama Timbalan Presiden, Guptah VG Nair menyifatkan pelantikan itu sebagai detik yang akan memperkukuhkan kedudukan Sabah di pentas nasional dan antarabangsa.
“Ini adalah bukti pengiktirafan terhadap kebijaksanaan dan karisma Tun Musa, yang akan membawa gelombang transformasi baharu.
“Kami yakin beliau mampu mengukuhkan keyakinan pelabur, mempercepatkan arus pembangunan, dan memantapkan keharmonian serta kesejahteraan rakyat Sabah,” kata mereka dalam kenyataan.
PGS percaya bahawa pelantikan itu bukan sahaja menjadi simbol kebanggaan bagi komuniti etnik Gana tetapi juga seluruh rakyat Sabah.
“Tun Musa bukan sekadar pemimpin, beliau adalah inspirasi yang akan membakar semangat perpaduan dan mencorakkan masa depan Sabah yang lebih gemilang,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, PGS turut menyeru kepada seluruh rakyat supaya berdiri teguh di belakang kepimpinan Tun Musa dan menjadikan era baharu ini sebagai pemangkin kepada Sabah yang lebih cemerlang, harmoni, dan makmur. – Utusan Borneo