PGRS Ada Cara Atasi Isu Komuniti Pala’u

palau.jpg
Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) mempunyai solusi dalam menyelesaikan isu komuniti Pala’u di Lahad Datu.

Timbalan Presiden PGRS Datuk Mohd Basri Abd Gafar (gambar) berkata, setelah sekian lama pentadbiran negeri silih berganti, belum ada usaha agresif yang positif untuk menyelesaikan isu itu hingga ia dianggap lapuk oleh masyarakat.

“Isu ini merunsingkan kami kerana terbiar begitu sahaja sejak dulu lagi tanpa penyelesaian.

“Pada kami, Pala’u ada keperluan dan melakukan aktiviti meminta sedekah itu dilakukan kerana desakan hidup.

“Orang ramai yang prihatin memberi sumbangan secara sukarela maka aktiviti memberi dan menerima sedekah itu berlangsung namun ini tidak salah.

“Yang menjadi kesalahan dan membimbangkan, golongan ini melakukan aktiviti meminta sedekah berhampiran lampu isyarat di jalan raya yang memberi risiko keselamatan sama ada kemalangan atau kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pejabat PGRS Silam dan bahagian Lahad Datu, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan membiarkan komuniti ini terbiar tanpa pembelaan sedangkan ia boleh saja diselesaikan.

Katanya, untuk jangka pendek Pala’u perlu dikeluarkan dari meminta sedekah di kawasan tumpuan mereka dan seterusnya melantik pihak yang bertanggungjawab untuk menguruskan sumbangan daripada masyarakat setempat kepada mereka.

Untuk jangka panjang ialah memberi ruang dan peluang mereka berdikari kerana golongan ini boleh memanfaatkan kepakaran dn skil kerja bagi meraih pendapatan.

“Bagi meningkatkan taraf hidup, pendidikan perlu diberikan, kesihatan, keagamaan dan nilai norma hidup boleh diterapkan dengan syarat masyarakat bersatu membimbing mereka.

“Adalah lebih baik sekiranya mereka tidak terlalu berubah kerana nilai identiti mereka juga boleh diangkat ke tahap menjadi tarikan industri pelancongan asalkan peluang serius diberikan melalui penyaluran dana untuk mereka,” katanya.

Mengulas mengenai isu setempat, Mohd Basri melihat pelbagai masalah yang dihadapi rakyat di Lahad Datu akan menjadi agenda perjuangan PGRS jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Masalah jalan raya, keperluan asas air, pendidikan, perniagaan, keselamatan dan banyak lagi memerlukan perhatian kerajaan untuk diselesaikan.

“Kita juga tidak mahu khazanah alam sekitar yang sebenarnya kita pinjam daripada generasi akan datang musnah tanpa pembelaan hingga tidak lagi dinikmati oleh anak cucu kita,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top