PGA Rampas 2,700 Kotak Ayam Sejuk Beku Bernilai RM540,000

serbuan-telupid.jpg

Pasukan serbuan melakukan rampasan semasa serbuan di Jalan Telupid, Betu 4, Kampung Telupid.

Kongsi Bersama

BELURAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 (BN 20) Beluran merampas ayam sejuk beku bahagian paha ayam tanpa permit sebanyak 2,700 kotak, bernilai lebih kurang RM540,000 yang dipercayai dibawa masuk dari Amerika Syarikat dalam satu serbuan di Jalan Telupid, Betu 4, Kampung Telupid, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.35 pagi itu, rampasan dilaksanakan oleh cawangan Risik dan Task Force Batalion 20 PGA Beluran turut menahan dua pemandu dan kelindan lori.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat, cawangan Risik dan Task Force Batalion 20 PGA menahan dua lori.

“Hasil pemeriksaan terhadap lori itu menemukan 2,700 kotak ayam sejuk beku bahagian paha ayam yang diimport dari Amerika Syarikat tanpa sebarang permit barangan basah.

“Pemeriksaan lanjut juga menunjukkan mereka gagal mengemukakan lesen import produk haiwan dan cop halal di kotak meragukan serta tiada sijil halal,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dua pemandu lelaki berumur 25 dan 33 tahun serta kelindan berusia 33 tahun ditahan.

“Nilai rampasan semua ayam sejuk beku berjumlah RM540,000 manakala dua lori yang disita bernilai RM200,000 dan nilai keseluruhan rampasan lebih kurang RM740,000.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Telupid untuk laporan polis dan rujukan seterusnya diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan JAKIM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya kes disiasat mengikut Enakmen Kebajikan Haiwan 2015. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top