PGA Gagalkan Cubaan Warga Filipina Seludup Petrol, Tong Gas

seludup-filipina.jpeg
Kongsi Bersama

Cubaan dua lelaki warga Filipina menyeludup keluar barangan subsidi membabitkan petrol dan gas memasak gagal apabila dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA), di perairan Pulau Bohayan, Semporna kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, kedua-dua suspek berusia 21 dan 36 tahun itu berjaya ditahan ketika cuba meloloskan diri ke sempadan dengan masuk ke perairan Filipina.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kes berkenaan berjaya dikesan PGA ketika sedang menjalankan rondaan di kawasan perairan negara.

Katanya, sebaik dipintas, pemeriksaan lanjut menemui 775 liter petrol bersama dua tong gas yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Semua barangan bersubsidi yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,948 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kedua-dua suspek turut didapati masuk ke negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Mohd Abduh berkata, kedua-dua suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, dua lelaki warga Indonesia berjaya diusir keluar selepas dikesan memasuki kawasan Bergosong, Pulau Sebatik, Tawau, kelmarin.

Kedua-dua lelaki berusia 24 dan 36 tahun terbabit yang menunggang motosikal ditahan untuk pemeriksaan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Mohd Abduh berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka mengaku berasal dari Sungak Nyamuk, Indonesia dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah masuk ke negara ini.

Katanya, kedua-dua mereka juga mengaku baru tiba kira-kira 30 minit lalu menerusi lorong tikus di sempadan Malaysia-Indonesia untuk bertemu rakan yang bekerja di Kampung Bergosong Kecil.

“Kedua-dua mereka kemudiannya diiringi balik ke kawasan sempadan sebelum diusir keluar daripada negara ini,” katanya.

Mohd Abduh berkata, kejayaan kedua-dua operasi itu dijalankan atas arahan Pegawai Pemerintah  Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad. – Asia Times

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top