KOTA KINABALU: Bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony dikatakan kekal dengan pendirian untuk menubuhkan parti baharu, walaupun beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Juil Nuatim cuba “dipancing” STAR.
FMT kelmarin melaporkan bahawa sumber yang rapat dengan Peter berkata, jemputan Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan agar Peter dan Juil menyertai parti diterajuinya juga tidak dilayan.
“Tiadalah (Peter dan Juil ingin sertai STAR). Beliau (Peter) sudah mula bergerak dan bersedia untuk berjuang dengan parti baharu,” katanya kepada portal berita itu.
Sumber itu berkata, kenyataan Jeffrey mengenai kemungkinan menemui Peter dan Juil petang kelmarin tidak berlaku.
Katanya, perjumpaan itu sebenarnya dirancang tanpa pengetahuan Peter dan Juil, oleh itu dua wakil rakyat terbabit tidak ke tempat yang dikatakan sepatutnya diadakan pertemuan itu.
Terdahulu, Jeffrey mempelawa Peter dan Juil berjuang bersamanya di bawah “panji” STAR, susulan pengumuman mereka meninggalkan Warisan pada Selasa lepas.
Beliau juga berharap Peter membatalkan hasratnya menubuhkan parti baharu kerana beranggapan ada terlalu banyak parti tempatan di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri itu dilaporkan berkata, beliau mungkin menemui Peter dan Juil bagi membincangkan pelawaannya.
Sebelumnya, Peter dilaporkan berkata, beliau akan menubuhkan parti baharu berasaskan masyarakat Kadazan Dusun Murut yang mesra kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah pada bulan depan. – FMT