KOTA KINABALU: Bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony akan melancarkan parti baharunya secara rasmi pada 28 Januari ini.
Utusan Malaysia dalam satu laporannya memetik Peter sebagai berkata, parti berkenaan sudah pun didaftarkan dan hanya tunggu masa untuk pelancaran.
“Majlis pelancaran itu nanti akan dibuat di Tenom.
“Mungkin ramai yang fikir, parti baharu ini tidak akan diluluskan (Pendaftar Pertubuhan) namun, ia sudah pun didaftarkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Peter turut menolak dakwaan pihak tertentu bahawa kewujudan parti itu akan memecahbelahkan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, hasrat menubuhkan parti baharu berasaskan KDM itu sudah dimaklumkan kepada parti komponen lain dalam kerajaan seperti Parti Bersatu Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Menurut beliau, siri jelajah parti baharu itu akan dilakukan untuk memperkenalkan parti tersebut kepada orang ramai.
“Parti ini diharap boleh memainkan peranan bagi menyatupadukan rakyat dengan menawarkan platform politik alternatif tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Beliau juga menepis dakwaan yang menyatakan keputusannya keluar parti disebabkan tekanan daripada kes mahkamah yang sedang berjalan.
Peter mengumumkan keluar daripada Warisan pada 28 Disember lalu dan berhasrat menubuhkan parti baharu yang mesra kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sebelum ini, Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mempelawa Peter untuk menyertai STAR namun pelawaan itu ditolak kerana Peter sudah menubuhkan parti baharu yang akan bersama-sama menyumbang kepada kemajuan Sabah.