Peter Anthony Fail Penangguhan Sabitan Palsu Surat

peter.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony memfailkan permohonan untuk menangguhkan sabitannya sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Permohonan itu dibuat bagi membolehkan Peter, 51, bertanding kerusi parlimen di Sabah, pada pilihan raya umum ke-15 yang perlu diadakan selewat-lewatnya Sept tahun depan.

Pada 26 Mei, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kerja kontrak penyelenggaraan sistem.

Hakim Azura Alwi turut mengenakan denda RM50,000 kepada ADUN Melalap itu dan dia boleh dipenjara 15 bulan jika gagal membayarnya.

Tidak lama selepas disabitkan dengan kesalahan itu, Peter memohon penangguhan hukuman yang mana sebahagiannya dibenarkan.

Dia membayar denda itu, tetapi hukuman penjara digantung sementara menunggu rayuannya.

Azura akan mendengar permohonan penangguhan itu, pada 18 Jul.

Peguam D Senthinathan, yang memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan Peter, berkata terdapat keadaan khas untuk mewajarkan penangguhan sabitan itu.

Beliau berkata, pencalonan Peter untuk bertanding di Dewan Rakyat pada pilihan raya umum ke-15 boleh ditolak jika sabitan itu kekal.

Senthinathan berkata, rayuan Peter akan menjadi satu tindakan sia-sia atau dianggap batal sekiranya Mahkamah Tinggi mengetepikan sabitan dan hukuman.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan bahawa pihak pendakwaan telah bersedia dengan dokumen diperlukan mahkamah.

Peter, pengarah urusan Syarikat Asli Jati ketika itu, didakwa memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan kenyataan palsu dengan niat menggunakannya untuk tujuan penipuan.

Kesalahan itu dikatakan dilakukan di pejabat setiausaha sulit utama perdana menteri di bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top