Peter Anthony Dipenjara 3 Tahun, Denda RM50,000

peter-2.jpg

Peter Anthony (gambar fail)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Datuk Peter Anthony dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hampir lapan tahun lalu.

Jika gagal membayar denda, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu menjalani hukuman penjara 15 bulan lagi.

Hakim Azura Alwi bagaimanapun membenarkan permohonan pasukan pembelaan agar pelaksanaan hukuman penjara tiga tahun terhadap Peter, 51, ditangguhkan sementara menunggu rayuan dilupuskan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan denda RM50,000 itu dijelaskan hari ini selepas menolak permohonan pembelaan agar denda itu dibayar minggu hadapan.

Mengikut pertuduhan, Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd., didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Ketika membacakan alasan penghakimannya, Azura berkata, tiada asas untuk meragui kredibiliti saksi-saksi pendakwaan terutama tiga saksi utama, sedangkan kerjaya dua daripada mereka turut terjejas selepas dikenakan tindakan tatatertib oleh UMS.

Mereka ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shariff Abdul Kadir S. Omang (SP8), Pendaftar UMS, Lt. Kol (K) Datuk Abdullah Mohd. Said (SP9) dan rakan Peter, Mohd. Shukur Mohd. Din (SP3).

Azura turut menyatakan, tiada isu bahawa ketiga-tiganya mempunyai kepentingan untuk meletakkan kesalahan kepada tertuduh.

“Tiada keterangan menunjukkan pertuduhan terhadapnya bermotifkan kepada perbezaan pegangan politik seperti yang dikemukakan oleh pihak pembelaan,” ujar Azura.

Pada hemat hakim itu, walaupun tiada keterangan langsung yang menunjukkan Peter telah memalsukan dokumen, mahkamah bergantung kepada keterangan ikut keadaan bahawa Peter memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat TNC.

Azura berpendapat, hanya Peter mempunyai kepentingan untuk mendapatkan kontrak kerja-kerja penyelenggaraan dan bersungguh-sungguh mendapatkannya bagi kepentingan sendiri dan syarikatnya, Asli Jati Engineering.

Beliau bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa mustahil tertuduh tidak mengetahui status projek yang telah ditawarkan secara tender terbuka walhal Asli Jati Engineering adalah salah satu daripada lapan syarikat yang telah memasuki tender itu.

“Keterangan ikut keadaan jelas menunjukkan hanya tertuduh mempunyai peluang untuk melakukan pemalsuan dan segala tindakan dan siri kelakuan dibuat secara tidak jujur,” ujar hakim berkenaan.

Mahkamah juga berpendapat, wujud keterangan yang mencukupi bahawa tertuduh telah menipu ketiga-tiga saksi utama dengan mengaburi pemikiran mereka berhubung perkongsian pintar.

Azura turut berpendirian, keterangan saksi-saksi pembelaan tidak konsisten dan merupakan sesuatu yang difikirkan kemudian (afterthought).

Mahkamah tidak menerima pembelaan Peter bahawa beliau tidak mengunjungi pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri pada 13 Jun 2014 dan tidak menyerahkan surat sokongan itu.

Sebaliknya, Azura berpuas hati bahawa cop penerimaan pada surat sokongan adalah pada tarikh yang sama dan membuktikan hanya tertuduh mempunyai akses kepada pejabat Perdana Menteri. – UTUSAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top