Peter Anthony dibenar kemuka bukti baharu dalam rayuan akhir

peter-anthony.jpg

Peter Anthony (gambar fail)

Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam membenarkan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony, untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan akhirnya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda, kerana memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, membenarkan permohonan dikemukakan peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan dan Emile Ezra Md Hussain yang mewakili Peter, selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah perkara itu.

Hakim Vazeer yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azizul Azmi Adnan, kemudiannya menetapkan hari ini untuk pengurusan kes secara dalam talian.

Bukti baharu itu berhubung laporan polis yang dibuat oleh saksi pendakwaan ketiga yang juga rakan Peter, Mohd Shukur Mohd Din.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Wan Shaharuddin yang mengendalikan kes bersama TPR Haresh Prakash Somiah berkata mereka tidak membantah, kerana merasakan bukti yang ingin dikemukakan oleh pihak pembelaan tidak ada kaitan dalam rayuan.

Pada 19 April 2023, Peter, 52, memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu, sebelum ini gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas, dan ini merupakan rayuan terakhir Peter di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache yang menolak rayuan Peter, bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa Peter memalsukan dokumen bagi mendapatkan projek di UMS, sedangkan beliau mengetahui projek itu dibuat melalui tender terbuka.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Bagaimanapun Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu telah membayar denda RM50,000. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top