KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan Sabah menetapkan peta perjalanan yang lebih komprehensif untuk membuka semula industri pelancongan negeri ini secara berperingkat.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kedua jawatankuasa berkenaan bagi membincangkan dan menghubungkan kembali dengan situasi semasa pemain industri pelancongan Sabah.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai berkata, empat komponen utama ditekankan dalam mesyuarat itu sebagai persediaan membuka semula pelancongan.
Katanya, ia bagi memastikan semua pemain industri pelancongan diberi vaksin dan mewujudkan potensi gelembung perjalanan (travel bubble).
Menurutnya, turut dicadangkan agar insurans COVID-19 dimasukkan dalam pakej pelancongan untuk melindungi pelancong dan membangunkan Persijilan Akreditasi Hijau .
Mesyuarat yang dianjurkan oleh STB itu turut dihadiri oleh wakil dari Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar; Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC); Tourism Malaysia Sabah; Persatuan Pelancong Sabah (STA); Persatuan Pemandu Pelancong Sabah; Persatuan Agensi Pelancongan dab Pengembaraan Sabah (SATTA); Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA); Persatuan Hotel Malaysia; Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia; Persatuan Pemandu Pelancong Bumiputera; dan Persekutuan Persatuan Pelancongan Luar Bandar.
MOTAC yang diwakili oleh Ibrahim Othman berkata, vaksinasi untuk pemain pelancongan akan dilakukan mengikut zon bermula dengan Kota Kinabalu dan kawasan lain yang berpotensi Ranau atau Semporna.
Selain itu, MOTAC Sabah turut menulis surat kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan memasukkan senarai berkenaan dalam program imunisasi semasa.
Mengenai pakej gelembung perjalanan, semua persatuan dinasihatkan untuk bekerjasama dalam mengemukakan beberapa cadangan yang dapat dilaksanakan.
Pengarah Tourism Malaysia Sabah Mohd Faharuddin Hatmin berkata, bagi memastikan kelancaran gelembung perjalanan, pakej yang ditawarkan harus menjadi titik perjalanan yang lancar bagi para pelancong.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancong Sabah Tonny Chew mencadangkan agar kementerian membantu mendapatkan pilihan insurans.
Berhubung perkara itu, Joniston turut sama setuju mengenai kepentingan kuarantin dan kemasukan ke hospital selagi penularan COVID-19 masih berlaku.
Dalam pada itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Yusrie Abdullah menyarankan penubuhan sebuah jawatankuasa kecil untuk memfokuskan pada cadangan Persijilan Akreditasi Hijau yang akan diwajibkan untuk semua pengusaha pelancongan tempatan.
Beliau berkata, langkah itu untuk memastikan industri mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan senarai keselamatan yang dipatuhi sebelum dibuka semula.
“Ini akan memberi keyakinan kepada pelancong destinasi pelancongan di Sabah selamat untuk dikunjungi,” katanya.
Pada masa sama, mesyuarat itu juga menekankan keperluan mengadakan sesi jalinan secara kerap seiring dengan persiapan membuka semula industri pelancongan.
Perkara itu bagi memastikan semua orang bersedia terutama dalam hal melaksanakan SOP.
Sabah dijangka dapat mencapai 60 peratus imuniti berkelompok menjelang Oktober depan yang membolehkan pelancongan dibuka semula.