Pesta Kaamatan Kunci Perpaduan Yang Perlu Dipertahankan – SSK

ssk2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan merupakan salah satu perayaan yang menjadi kunci perpaduan di kalangan rakyat di negeri ini.

Pengerusi Kelab Penyokong GRS, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, Festival Pesta Menuai yang disambut setiap hujung bulan Mei itu merupakan simbolik kepada semua kaum untuk terus bersatu padu.

“Festival ini kunci perpaduan kepada kita dan menjadi asas ikatan silaturahim.

“Sehubungan itu, adalah perlu kita mempertahankan adat yang sedia ada dalam terus menyatukan semua kaum di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi Virtual Kaamatan SSK menerusi aplikasi Zoom di Kota Kinabalu, petang semalam.

Menurut Salleh yang juga Pengerusi Warisan Harta Sabah (WHS), acara sesi dialog secara maya itu merupakan satu inisiatif pihaknya untuk mendekati orang ramai dalam mengadaptasikan teknologi digital sekaligus meraikan simbolik Pesta Kaamatan.

“Bertepatan dengan tema Kaamatan pada tahun 2021, iaitu Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Pendamaian dan Keamanan, adaptasi digital ini amat berperanan dalam masyarakat kita berhubung dan meraikan sambutan perayaan ini tanpa bersemuka.

“Seiring juga dengan norma baharu, penggunaan teknologi seperti ini juga amat bermakna buat semua masyarakat Sabah meskipun kita bakal menempuh tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada 1 Jun hadapan.

“Sehubungan itu juga, pendekatan seperti ini secara tidak langsung memberikan nafas baharu dalam setiap urusan kita dalam menghadapi cabaran berkenaan nanti,” katanya. – Jesselton Times


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top