KOTA KINABALU: Sambutan perayaan Pesta Kaamatan 2024 akan dilancarkan pada 1 Mei di Ranau, dan diadakan sambutan di peringkat daerah, di Sarawak dan Semenanjung, sebelum berakhir pada acara penutup di Penampang pada 31 Mei nanti.
Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dijadual melancarkan sambutan itu bertemakan ‘Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan’ atau dalam bahasa Kadzandusun ‘Kaamatan, Poingalib Kohimaganan Taakanon’.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan 2024 berkata, pelbagai acara akan diadakan untuk memeriahkan sambutan itu, antaranya Unduk Ngadau (pertandingan ratu cantik tradisi), Sugandoi (pertandingan nyanyian rakyat), dan sukan tradisional rakyat.
“Saya berharap supaya sambutan ini akan berjalan lancar dan mendapat sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat di Sabah tanpa mengira bangsa dan agama. Ini perayaan kita bersama, jadi marilah raikan bersama.
“Selain itu, kita juga berharap agar pelaksanaan sambutan di peringkat daerah berjalan dengan baik. Semoga dengan sambutan ini dapat mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat perlbagai kaum di seluruh Malaysia, khasnya kita negeri Sabah,” katanya pada sidang media sambutan itu, di sini, pada Jumaat.
Pesta Kaamatan, yang juga dikenali sebagai Tadau Kaamatan atau ‘Magavau’ dalam bahasa Kadazandusun ialah pesta menuai padi, namun masyarakat lama juga melihat perayaan itu sebagai menghormati ‘Bambazon’ atau semangat padi untuk memberikan tuaian baik kepada penduduk.
Ranau, sebuah daerah terletak 109 kilometer arah Timur dari Kota Kinabalu, terkenal dalam kalangan pelancong dengan tarikan pelancongan tanah tinggi seperti Kundasang, Poring dan Pekan Nabalu dan juga merupakan ‘rumah’ buat Gunung Kinabalu yang terkenal di seluruh dunia.
Sementara itu, Jeffrey berkata, pihaknya akan memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang sambutan itu dan mengingatkan semua penduduk supaya meraikannya dengan bertanggungjawab, bagi menjaga nama baik serta imej negeri ini ini terutama di mata pelancong asing.
“Kita ingin mengelak masalah yang mungkin berlaku pada masa lampau, seperti tarian yang tidak sepatutnya dan aktiviti sampai pagi. Kita tidak mahu ini berlaku kerana ini mencemarkan imej kita. Maka kita telah tetapkan peraturan.
“Ini termasuk peraturan adat apa yang boleh dan tidak boleh, pantang-larang dan akibat kejadian pada masa lampau, kita pastikan ini tidak diulangi. Kita mahu semua termasuk di kampung ada peringatan ataupun peraturan-peraturan ini dipaparkan di dewan atau balai raya,” katanya.
Ditanya mengenai hukuman bagi mereka melanggar peraturan itu, Jeffrey berkata, individu berkenaan boleh dikenalan ‘sogit’, yang merupakan denda tradisi di Sabah, atau dibawa ke Mahkamah Anak Negeri bagaimanapun ia terpulang kepada Ketua Daerah atau Ketua Anak Negeri. – BERNAMA