Perwakilan Johor Takkan Berbahas Sepanjang PAU – Sumber

PAU-Umno.jpg
Kongsi Bersama

Perwakilan Johor dijangka tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang perbahasan semasa Perhimpunan Agung Umno berlangsung susulan isu pelantikan menteri besar baharu Johor.

Difahamkan dalam pertemuan bersama pemimpin-pemimpin Umno Johor yang turut melibatkan ketua-ketua bahagian di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana malam tadi, Pengerusi Umno Johor Datuk Seri Ir Hasni Mohammad meminta agar ahli parti tidak memanjangkan isu berkenaan.

“Sebaliknya, beliau (Hasni) berjiwa besar. Beliau juga tidak mahu perkara ini dibesar-besarkan,” kata sumber kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber itu lagi, Hasni juga mahu menghalang usaha segelintir perwakilan Umno Johor yang mahu menolak pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar ke-19 Johor.

Difahamkan, perjumpaan di Saujana semalam bermula seawal jam 9 malam dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi dengan mereka yang hadir menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Hasni.

Onn Hafiz, 43, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap, mengangkat sumpah sebagai menteri besar di Istana Bukit Serene petang tadi dan mengambil alih jawatan itu daripada Hasni.

Semasa kempen PRN berlangsung minggu lalu, Hasni dinamakan sebagai calon tunggal menteri besar oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada PRN Sabtu lalu BN memperoleh mandat besar iaitu memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor, sekali gus mempunyai kedudukan selesa membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, selepas tiga hari kemenangan BN dirai, tiada petunjuk jelas sama ada Hasni akan kembali menerajui kerajaan negeri, sehingga muncul khabar angin mengaitkan nama Onn Hafiz dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dengan jawatan itu.

 

– Bernama


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top