Peruntukan RM9.5 Juta Bagi Laksana Kegiatan Budaya, Warisan – KM

KM-Penutup-Kaamatan.jpg

Juhar Mahiruddin menyempurnakan upacara menyimpan padi sambil disaksikan Hajiji Noor (empat dari kiri) ketika menutup sambutan Pesta Kaamatan di Penampang hari ini. (Gambar Jabatan Ketua Menteri)

Kongsi Bersama

PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelan pembangunan kebudayaan Sabah akan digubal bagi memartabatkan khazanah warisannya ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, antara strategi yang akan digerakkan adalah program pendigitalan untuk memperkasa capaian data dan akses berhubung budaya, etnik dan warisan negeri melalui pembangunan “cultural mapping’ dan “e-Heritage”.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM9.5 juta kepada Lembaga Kebudayaan Sabah dan RM400,000 kepada persatuan kebudayaan bagi melaksanakan kegiatan kebudayaan, kesenian dan bahasa dalam Belanjawan 2022 Sabah.

“Usaha ini bagi memastikan kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik merupakan ciri keunikan dan aset sektor pelancongan akan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya ketika berucap dalam majlis penutup Pesta Kaamatan di sini.

Sementara itu, Hajiji berharap semangat perpaduan yang ditunjukkan sepanjang sambutan Pesta Kaamatan dapat diteruskan untuk memacu pembangunan serta kemajuan Sabah.

“Perayaan ini sesungguhnya mampu menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya di negeri ini. Saya berharap perpaduan ini akan terus dipelihara dan dipertahankan rakyat negeri ini setiap masa.”

Beliau juga berharap Pesta Kaamatan yang bertemakan “Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi” terus dimartabatkan sebagai mercu tanda kejayaan perpaduan, persefahaman dan kegemilangan rakyat berbilang kaum di Sabah.

Dalam majlis hari ini, Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menutup sambutan Pesta Kaamatan peringkat Sabah dengan menyempurnakan upacara “mengomot” atau menuai padi dan “popoopi pa’ai doid tangkob” atau menyimpan padi.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top