PETALING JAYA: Peruntukan RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021 kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) bertujuan bagi pengambilan lebih ramai kakitangan untuk ditempatkan di semua negeri dan daerah di seluruh negara.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam kenyataan hari ini berkata, ia juga bagi pembangunan modul dan latihan kompetensi kakitangan serta melengkapkan keperluan prasarana digital untuk menyebarkan maklumat dalam pelbagai bentuk komunikasi supaya dapat disampaikan secara berkesan kepada semua lapisan masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.
“Ia juga melibatkan kos operasi bagi menggerakkan kakitangan khususnya di kawasan yang jauh dan terpencil seluruh negara serta kos lain yang diperlukan dalam penubuhan sebuah agensi baharu,” katanya.
Malah, peruntukan itu juga secara langsung akan memberi peluang pekerjaan selain menggiatkan ekonomi yang memberi manfaat kepada pihak penyedia perkhidmatan dan pekerja secara keseluruhannya.
KKMM berkata, segala usaha itu akan terus menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat, selari dengan Belanjawan 2021 bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama” ketika berjuang membebaskan negara daripada situasi pandemik ketika ini.
Sebelum ini, ramai pihak mempertikaikan peruntukan besar disalurkan kepada jabatan itu dalam Belanjawan 2021 ketika negara berdepan krisis Covid-19.
Sementara itu, KKMM memberi jaminan penubuhan semula Jasa tidak bermotifkan politik, sebaliknya bertujuan mengukuhkan sahsiah dan pembangunan sosial masyarakat berbilang bangsa.
“KKMM memahami keresahan dibangkitkan orang awam terhadap fungsi Jasa sebelum ini, yang mungkin tidak dilaksanakan sebagaimana ditetapkan ketika pentadbiran terdahulu.
“Jasa bertanggungjawab mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh termasuk pemimpin masyarakat sivil dan pemimpin komuniti setempat dalam mendapatkan input penting yang konstruktif bagi pembinaan negara bangsa,” katanya. – FMT