Peruntukan RM553.07 juta untuk tingkat tahap sara diri tahun ini

hajiji-putatan.jpg
Kongsi Bersama

PUTATAN: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan telah memperuntukkan sebanyak RM553.07 juta untuk sektor pertanian, perikanan dan industri makanan dalam bajet tahun ini demi mempertingkatkan tahap sara diri Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus berusaha meningkatkan hasil dan kualiti pertanian dalam memastikan bekalan makanan di negeri ini mencukupi.

“Justeru itu, pelbagai inisiatif dan inovasi diperkenal dan dilaksanakan melalui program- program pembangunan tanaman, akuakultur, penternakan dan pembangunan usahawan tani,” katanya semasa perasmian majlis ramah mesra pemimpin bersama ahli Pertubuhan Peladang daerah Putatan di tapak Mobile Food Kiosk di sini malam semalam.
Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memberi sokongan dan kerjasama kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini sejajar peranan penting mereka dalam pembangunan industri makanan di negeri ini.

“Namun pertubuhan peladang juga perlu mempelbagaikan lagi inisiatif untuk membantu menaikkan taraf sosio ekonomi ahli-ahli pertubuhan peladang di negeri ini.

“Seiring dengan itu, ahli pertubuhan peladang kawasan Putatan diminta mempelbagaikan aktiviti ekonomi termasuk meneroka peluang dalam industri hiliran. Bukan saja di Putatan malah ahli peladang di seluruh negeri juga perlu menceburi industri hiliran.

“Ahli peladang tidak boleh sekadar menghasilkan bahan mentah untuk dipasarkan, sebaliknya mempelbagaikan hasil keluaran supaya dapat memenuhi permintaan pasaran. Sebagai contoh penghasilan pisang dan nanas yang boleh diproses menjadi makanan ringan seperti kerepek,” katanya.

Ketua Menteri berkata penerokaan kepada industri hiliran penting memandangkan ketika ini negara masih mengimport sejumlah makanan dari luar negara bagi memenuhi keperluan tempatan.

“Dengan meneroka peluang seperti ini, ahli peladang akan turut dapat meningkatkan sosioekonomi keluarga,” katanya.

Hajiji berkata Putatan mungkin tidak dapat menjalankan aktiviti pertanian komoditi berskala besar kerana saiznya yang agak kecil berbanding daerah lain di negeri ini tetapi dengan kedudukannya yang berdekatan dengan Bandaraya Kota Kinabalu, ahli PPK Putatan berpeluang menjadi pemain industri pemasaran rantaian nilai agromakanan.

“Saya berharap lebih ramai ahli pertubuhan peladang menceburi bidang perniagaan dalam agro makanan dengan memperolehi bekalan bahan mentah dari daerah lain untuk dijadikan produk usahawan yang boleh di pasarkan di Kota Kinabalu.

“Cari jalan dan peluang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan atau pihak swasta dengan mewujudkan kerjasama pintar dalam semua aspek rantaian nilai sektor agromakanan,” katanya.

Ketua Menteri juga mengalu-alukan penubuhan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian atau Peladang Outlet di Kampung Meruntum Putatan dan beliau yakin dengan wujudnya Peladang Outlet ini secara tidak langsung akan menyumbangkan peluang pekerjaan serta peluang perniagaan kepada masyarakat peladang di daerah Putatan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top