Peruntukan RM400,000 Bina Semula Jambatan, Jeti Roboh Di Pulau Pababag, Semporna

jeti-semporna.jpg
Kongsi Bersama

SEMPORNA: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM400,000 bagi membina semula jambatan dan jeti Pulau Pababag yang roboh pada Isnin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk segera berhubung dengan Pejabat Daerah Semporna bagi menyiasat dan mengambil tindakan segera.

Beliau berkata, jambatan itu adalah laluan yang digunakan bagi memudahkan pergerakan harian penduduk kampung termasuk untuk menghantar anak-anak ke sekolah serta Tadika Kemas di Pulau Pababag.

Justeru, KKDW telah menyerahkan surat arahan pelaksanaan kepada Pejabat Daerah Semporna bagi pembinaan semula jambatan dan jeti berkenaan.

“Pada 30 Januari lalu, ketika saya berada di Sabah bagi meninjau keadaan banjir di daerah Pitas, saya telah dimaklumkan oleh Ketua UMNO Bahagian Semporna,Abdul Manan Indanan mengenai kejadian jambatan dan jeti kayu yang telah roboh di Pulau Pababag, Semporna.

“Saya difahamkan pada ketika itu, terdapat 25 orang murid sekolah dan dua orang guru dari kampung sekitar yang baharu tiba di jeti untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pababag sekitar pukul 6.20 pagi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, diharap pembinaan jambatan dan jeti ini dapat dilaksanakan dengan segera bagi membantu seramai sekurang-kurangnya 151 orang murid sekolah dan 35 orang murid Tadika Kemas ke sekolah serta penduduk kampung yang terjejas pergerakan harian mereka selepas jambatan dan jeti itu roboh pada Isnin.

Dalam insiden yang berlaku pada Isnin, 25 murid terjatuh ke dalam laut setelah jambatan dan jeti di Pulau Pababag roboh dan dua daripada murid berkenaan mengalami kecederaan ringan iaitu luka pada bahagian bibir dan tangan kerana terkena runtuhan simen dan kayu yang roboh.- Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top