Peruntukan RM300,000 Dari Persekutuan: MP DAP Sabah Atur Strategi Percepat Bantuan Bakul Makanan

MP-DAP-Sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah akan mengambil langkah segera dalam mengenal pasti penerima dan mendapatkan bekalan makanan serta mengatur penghantar bakul makanan kepada penduduk di parlimen masing-masing.

Tindakan tersebut diatur selepas mereka mengesahkan sudah menerima peruntukan RM300,000 daripada Kerajaan Persekutuan.

Menerusi kenyataan bersama pada Selasa, tiga ahli parlimen melibatkan Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Noorita Sual (Tenom) dan Vivian Wong Shir Ye (Sandakan) berkata, mereka menerima lampu hijau dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk mengurangkan nilai setiap bakul makanan daripada RM100 kepada RM50.

‘’Sebagai gantinya, kami dapat mengagihkan hingga dua kali ganda jumlahnya bakul makanan (dari 3000 kepada 6000) di kawasan Parlimen kami dan ia dapat membantu lebih ramai orang.

‘’Kami percaya bahawa ia sangat mustahak untuk memaksimumkan jangkauan dan membantu sebanyak mungkin orang yang boleh,’’ kata kenyataan itu.

Tambahnya, ICU juga memberi kebenaran untuk ahli parlimen mengubah kandungan dan spesifikasi bakul makanan yang bersesuaian bagi penduduk kawasan masing-masing.

‘’Kami akan mematuhi garis panduan ICU dan akan membuat keputusan perolehan yang paling masuk akal dengan budi bicara yang diberikan kepada kami.

‘’Sebilangan daripada kami mungkin memutuskan untuk mengurangkan kuantiti barang-barang tertentu (iaitu dari pek beras 10kg menjadi pek beras 5kg).

‘’Malah kami mungkin memutuskan untuk tidak memasukkan barang-barang tertentu seperti sos cili, susu pekat manis, gula atau barang-barang lain dan berharap orang ramai memahami perkara ini,’’ tambahnya.

Justeru masyarakat di kawasan terlibat diminta untuk memberi kerjasama bagi melicinkan proses saringan dan agihan sebaiknya.

Selain itu, mereka yang sudah menerima bantuan bakul makanan diminta untuk tidak membuat permohonan semula bagi membolehkan orang lain menerima bantuan makanan kali ini.

‘’Pusat khidmat kami telah dibanjiri dengan jumlah panggilan yang sangat tinggi mengenai perkara di atas, dan kami meminta kesabaran dan pemahaman anda.

‘’Kami tidak beroperasi berdasarkan ‘siapa dulu siapa dapat’ dan kami akan menyaring kesemua permohonan bantuan dengan sewajarnya dan membantu mereka yang paling memerlukan sekali gus memastikan tiada pertindihan pertolongan,’’ ujarnya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada semua ahli parlimen, termasuk wakil rakyat pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat terjejas akibat COVID-19.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun lalu.

 

Sumber: AWANI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top