Peruntukan RM1 bilion Naik Taraf CIQS Beri Kesan Positif – KM

hajiji-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi memulakan kerja menaik taraf prasarana kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Sabah dan Sarawak, mampu memberi kesan positif interaksi di kawasan sempadan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pembinaan CIQS menjadi agenda utama untuk menikmati kesan positif interaksi di kawasan sempadan, berikutan perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.

“Pembinaan CIQS membolehkan rakyat melalui pemeriksaan kemasukan secara sah dan mengelakkan mereka masuk secara haram melaui jalan tikus yang tidak diwartakan.

“Ia sekali gus dapat mengekang aktiviti haram termasuk penyeludupan dan jenayah lain di sempadan,” katanya ketika merasmikan Pembukaan Sidang Geostrategik Negeri Sabah (SGS) 2023 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan.

Pada Januari lalu, kementerian kewangan memberikan kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan CIQS di sempadan Sarawak dan Sabah.

Mengenai sidang itu pula, Hajiji berkata, penganjuran sidang itu tepat pada masanya kerana isu perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan memerlukan tindakan teliti dan segera di semua peringkat.

Sidang pada hari ini juga katanya, adalah satu platform untuk semua entiti agensi berkumpul dalam menyediakan dasar -dasar jangka pendek, sederhana mahupun jangka masa panjang.

“Kedudukan kita yang bersempadan dengan Kalimantan menjadikan negara ini khususnya Sabah mempunyai hubungan erat dengan Indonesia.

“Saya mengambil maklum segala usaha ahli akademik yang telah menjalankan kajian dengan penuh tanggungjawab dan kebanyakkannya bersifat holistik serta lengkap dari semua aspek keselamatan, ekonomi dan sosial,” katanya.

Justeru, katanya, sidang tersebut merupakan kesinambungan agar hasil-hasil kajian dan penulisan ini dapat disintesiskan dengan maklumat di lapangan.

“Ia sekali gus dapat diterjemahkan dalam bentuk dasar dan pelan tindakan bermatlamatkan kemakmuran serta kesejahteraan negeri Sabah,” katanya.

Hajiji berharap kolaborasi dan koordinasi antara ahli akademik dan penggubal dasar perlu dipertingkatkan agar satu output yang optimum berupaya dihasilkan di akhir sidang ini nanti.

“Saya yakin dan percaya gabungan kepelbagaian kepakaran dalam sidang ini mampu mencetus pembugaran idea dan semak silang maklumat yang perlu dikongsi sesama agensi,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 88 agensi dan lebih 100 peserta menyertai sidang yang julung kali dianjurkan itu. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top