Peruntukan Lebih RM 9 Bilion Untuk Sabah Dan Sarawak Dalam RMK-12 – Ismail Sabri

PM-hari-Malaysia.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan RM4.66 bilion bagi Sabah, dan RM4.47 bilion untuk Sarawak melalui peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata peruntukan pembangunan itu bakal disalur di bawah Rolling Plan Pertama 2021, RMK12, yang akan dibentangkan di Parlimen 27 Sept ini, dan merupakan yang tertinggi berbanding negeri lain.

“Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Dengan prinsip ‘Bekerja Bersama Rakyat’, kerajaan akan terus memberi fokus kepada penduduk di Sabah dan Sarawak, agar kemakmuran yang dikecapi pada hari ini dapat dinikmati secara saksama,” katanya semasa berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021 di sini malam tadi.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin; Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; dan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Dalam pada itu menurut Ismail Sabri lagi Kerajaan memahami keperluan dan kepentingan Keluarga Malaysia terhadap capaian internet berkelajuan tinggi dan berkata Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2021 hingga 2025 akan diperluaskan lagi.

“Sebagai langkah siap siaga negeri Sabah dan Sarawak  beralih kepada teknologi 5G, kerajaan memperuntukkan RM7.7 bilion bagi tempoh lima tahun, dengan negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM3.61 bilion, dan Sarawak RM4.09 bilion.”

“JENDELA menjanjikan liputan serta kemudahan internet lebih baik dan meluas, demi manfaat bersama Keluarga Malaysia khususnya di Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang”

Jaminan saya, kerajaan terus komited memperbaiki perkhidmatan jalur lebar di kedua-dua negeri ini. No one will be left behind, everyone will have access to the digital world, and everyone must be connected, katanya lagi.

Di akhir ucapannya yang disiarkan secara langsung itu, beliau turut menyeru agar rakyat sama-sama berdoa semoga negara berdaulat ini, sentiasa dalam rahmat keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan.

Perdana menteri juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top