Peruntukan Interim RM300 Juta Tangani isu Infrastruktur Di Sabah

bung-3.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Peruntukan interim bernilai RM300 juta yang akan disalurkan masing-masing kepada Sabah dan Sarawak dijangka dapat membantu menyelesaikan isu bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya yang kritikal di negeri ini.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, peruntukan itu juga dijangka akan dapat memberi implikasi positif kepada perkembangan ekonomi dan juga sosial masyarakat Sabah.

“Peruntukan RM300 juta ini merupakan langkah awal yang tepat dilaksanakan kerana ia dijangka dapat menyelesaikan isu pembangunan infrastruktur selain pembangunan lain yang jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

“Walaupun peruntukan masih belum memadai untuk tujuan pembangunan berbanding dengan keperluan dan faktor geografi Sabah yang luas, namun ini merupakan langkah permulaan yang positif untuk menyelesaikan isu pembangunan yang dianggap kritikal dan perlu didahulukan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO Sabah pada malam Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai keputusan kerajaan pusat untuk menyalurkan peruntukan interim berjumlah RM300 juta kepada Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 112 D Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, kerajaan negeri juga perlu mengambil perhatian serius jika diberikan autonomi untuk menyelaraskan peruntukan itu.

“Kerajaan negeri atau agensi yang diberikan kuasa perlu menyelarasnya secara efisien, cepat dan tepat selain dapat mengurangkan biokrasi kerana ia akan membantutkan usaha membangunkan Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Bung Moktar turut bersetuju dengan cadangan autonomi kepada Sabah dan Sarawak berkaitan dengan pentadbiran kesihatan dan pendidikan yang sebelum ini tidak selaras berikutan negeri ini juga mempunyai Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan sendiri.

“Penting ada kuasa autonomi bagi dua jabatan ini memandangkan selama ini sebarang cadangan dan keputusan kita perlu merujuk kepada kerajaan Pusat menyebabkan apa-apa tindakan untuk menyelesaikan isu berkaitan kesihatan dan pendidikan di Sabah mengambil masa yang panjang,” katanya. – Sinar Harian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top