KOTA KINABALU: Isu tular mengenai jajaran politik baharu yang digembar-gemburkan beberapa hari lalu disifatkan propaganda serta retorik semata-mata.
Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, ini kerana semua pihak sedang menunggu keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum membuat keputusan drastik.
“Walaupun di pihak Warisan Plus mahupun pihak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada ketika ini berdepan dengan isu dalaman tetapi rasanya itu tidak memungkinkan pergolakan politik yang melampau serta berlaku perubahan dalam tempoh terdekat.
“Itu adalah satu benda yang satu harus dihentikan segera, hentikan berpolitik sebaliknya fokus kepada usaha membangunkan ekonomi negeri, kebajikan rakyat dan menangani COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi berhubung isu jajaran politik baharu yang tular di media sosial sejak kelmarin.
Terdahulu, senario politik di Sabah sedikit kecoh susulan beberapa rakaman audio dan mesej tular di aplikasi Whatsapp dengan mengatakan Parti Warisan Sabah (Warisan) Plus bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan kerjasama ADUN lain, bakal mengambil alih tampuk kerajaan sedia ada.
Dalam pada itu, ketika mengulas akan adanya kerjasama antara Warisan dan PBS di masa ini, Dr Romzi berkata, ianya tidak semudah yang disangka.
“Saya juga yakin sesetengah parti itu khususnya PBS bukanlah satu parti yang ingin bertindak melulu, parti ini juga sudah semestinya merupakan sebuah parti yang ingin kekal dalam persada politik negara.
“Untuk bergabung dengan Warisan Plus sudah pastinya pelbagai pertimbangan akan diambil kira dan saya juga melihat bahawa ADUN-ADUN bebas tidak akan bertindak secara melulu,” katanya. – AWANI