Pertukaran Terma Ketua Menteri Kepada ‘Premier’ Tidak Libatkan Bidang Kuasa

james-chin.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Pertukaran terma ketua menteri kepada premier (perdana menteri) adalah selaras pindaan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan pada 2021.

Menurut Profesor Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin, ia sekali gus tidak mendatangkan sebarang kesan.

Malah ia membuktikan Sarawak dan Sabah bukan semata-mata sebuah negeri tetapi memiliki status yang istimewa dalam Perlembagaan.

‘’Ini sebagai mengiktiraf kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri dua tahun lalu, Sabah dan Sarawak bukanlah sebuah negeri malah sebagai wilayah.

”Perkara ini konsisten tanpa pengisytiharan dan berdasarkan pindaan Perlembagaan pada 2021, ia hanya melibatkan penamaan semula daripada terma Ketua Menteri kepada Premier of Sarawak.

‘’Tiada kesan terhadap pertukaran ini kerana ia semata-mata simbol menunjukkan Sabah dan Sarawak bukanlah hanya sebuah negeri tetapi memiliki status yang istimewa dalam Perlembagaan,’’ katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Selain itu tambahnya, pertukaran terma ini juga tidak melibatkan penambahan kuasa bagi seorang ketua menteri kerana peruntukan baharu perlu digubal semula dalam Perlembagaan Malaysia dan Sarawak sekiranya terdapat permintaan terhadap perkara tersebut.

‘’Tidak, sekarang jika seseorang dinamakan sebagai ketua menteri dan mahu membuat perubahan bidang kuasa atau lain-lain perlu membuat pindaan undang-undang.

‘’Ini hanya pindaan pada nama sahaja tidak termasuk pindaan Perlembagaan Malaysia mahupun Pindaan Sarawak,’’ tambahnya.

Terdahulu, tular di media sosial tentang pertukaran terma Ketua Menteri Sarawak kepada Premier of Sarawak yang dibentang dalam Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembangaan Sarawak pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan.

Pada 19 Januari lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 (Akta A1642) yang diperkenankan yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dikuatkuasakan bermula 11 Februari lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, akta itu merangkumi pindaan Perkara 1(2), Perkara 160(2) dan Perkara 161a (6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, ruu itu diwartakan sebagai Akta A1642 pada 25 Januari lalu dan penguatkuasaan adalah komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia (MA63). – AWANI

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top