Pertingkatkan Jati Diri Hadapi Cabaran Dunia Tanpa Sempadan, Pesan Robert Kepada Graduan KV Keningau

Robert-vokasional-keningau.jpg

Robert (barisan depan, tiga dari kiri) pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional (KV) Keningau Kali Ke-6

Kongsi Bersama

KENINGAU: Para graduan digesa supaya terus mempertingkatkan nilai jati diri dan keberanian untuk meninjau peluang-peluang pekerjaan di semua sektor.

Ketika membuat gesaan itu Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik berkata, nilai jati diri dan keberanian akan dapat membina generasi Malaysia yang berpotensi untuk memiliki pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi.

Beliau bagaimanapun turut mengingatkan mereka bahawa persaingan di luar adalah sangat hebat terutamanya pada era dunia tanpa sempadan seperti sekarang ini.

“Pengetahuan, dan kemahiran yang diperolehi tidak akan berguna jika kita tidak mampu menunjukkan disiplin diri yang tinggi ketika bekerja.

“Di dunia realiti, para graduan harus berdikari dalam menyelesaikan masalah dan organisasi tempat bekerja, mempunyai perwatakan yang kuat dan berperibadi mulia, serta berupaya menghadapi apa jua situasi dan rintangan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional (KV) Keningau Kali Ke-6, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Johari @ Jaibet Sabin; Timbalan Pengarah Akademik, Noorhayati Hashim @ Harun; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Pounsin Kining; Ketua Jaminan Kualiti, Kilin Toyou dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) KV Keningau, Menuel Siah.

Dalam pada itu, Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor turut mengingatkan graduan tentang peranan mereka terhadap pembangunan negara memandangkan mereka merupakan generasi pelapis masa hadapan.

“Para graduan harus sedar bahawa sebagai generasi masa hadapan, tanggungjawab mengurus pembangunan negara dan menentukan arah kecemerlangan negara tercinta, terletak di bahu mereka.

“Oleh yang demikian manfaatkanlah ruang dan peluang yang telah diberikan agar dapat mencipta kejayaan pada masa hadapan,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top