Pertimbang Buka Semua Sektor – SEAC

David-Chu-ms-010721-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan baik peringkat Negeri dan Persekutuan diminta mempertimbang untuk pembukaan semua sektor sama ada ia melibatkan perkhidmatan perlu (essential) atau sebaliknya.

Demikian pandangan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) , Tan Sri David Chu yang berpendapat, dilema pandemik Covid-19 sudah berpanjangan selama 20 bulan dan telah memberi kesan kepada ekonomi serta kehidupan masyarakat.

Beliau berkata, vaksin sedia ada dan jumlah vaksinasi yang diberikan kepada rakyat di peringkat persekutuan dan negeri dilihat boleh memberikan peluang supaya sektor-sektor lain dibuka semula.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga jumlah kes Covid menjunam baharu kita bertindak membuka semua sektor sedangkan kehidupan orang ramai sudah sekian lama terjejas.

“Bagi SEAC, semua sektor adalah memerlukan di mana ia menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai,”katanya.

Jelas Chu, mengambil contoh negara China yang mempunyai populasi rakyat antara terbesar di dunia telah menangani pandemik secara efisien dengan pembangunan ekonomi mereka kini mula mencanak naik.

“Mereka dalam masa yang sama mempercepatkan vaksinasi kepada rakyat negara itu bagi memulihkan semula ekonomi supaya rakyat mereka boleh kembali menjalani kehidupan normal.

“Jadi hari ini, mereka berjaya mencapai perkara itu…Malaysia termasuklah di Sabah haruslah belajar daripada pengalaman China berhubung situasi berkenaan,”katanya.

Mengulas lanjut beliau dalam satu kenyataan medianya hari ini berkata, kerajaan perlulah memastikan semua pihak menerima vaksin secepat mungkin.

Tambahnya, sektor swasta harus dilibatkan secara meluas dalam membantu Program Imunisasi Kebangsaan dengan pengenalan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) oleh kerajaan baru-baru ini sebenarnya perlu pembabitan sektor-sektor lain, bukan hanya terbuka kepada perkhidmatan perlu sahaja.

“Sekiranya kerajaan membuat peraturan syarikat sama ada ianya adalah essential atau bukan sektor essential, dibuka sekiranya pekerja mereka menerima vaksinasi penuh, maka saya percaya semua pihak syarikat akan terlibat dengan program PIKAS,” katanya.

Terdahulu, Chu dalam masa yang sama merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang tetap dengan pendirian pelaksanaan prosedur operasi standart (SOP) seperti dine-in baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja memberikan nafas baharu kepada semua pemain industri bahkan membuka ruang kepada aktiviti perniagaan di negeri ini beroperasi semula.

“Apa yang penting, lebih 200,000 pekerja dalam industri makanan sama ada mereka yang bekerja bulanan atau harian, akhirnya berpeluang menerima pendapatan untuk nafkah keluarga dan membayar keperluan lain.

“SEAC amat menghargai ketetapan Ketua Menteri dalam memutuskan perkara ini meskipun mempunyai bantahan daripada Majlis Keselamatan Negara sebelumnya,” katanya.- pr/BNN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top