Pertimbang 30 Peratus Calon Wanita Dalam PRN Johor – Exco Wanita UMNO

Mastura.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Exco Wanita UMNO, Datuk Mastura Mohd Yazid (gambar) berharap pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) akan mempertimbangkan penambahan calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung nanti.

Exco Wanita UMNO Malaysia yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu berpendapat adalah penting untuk BN sendiri menjadi pelopor kepada usaha memperkasakan kedudukan wanita dalam kumpulan pembuat keputusan dan dasar.

“Justeru pada hemat saya, sudah tiba masanya UMNO dan BN menggunakan PRN Johor sebagai platform menampilkan lebih banyak calon wanita, sama ada dari sayap Wanita mahu pun Puteri.

“Ini bukan sahaja akan memberi nafas baharu kepada parti, tetapi juga sebagai satu keputusan yang strategik,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mastura menyatakan, dianggarkan jumlah pengundi lelaki dan wanita dalam PRN Johor hampir sama.

Hal ini jelas beliau, berdasarkan daftar pemilih lalu jumlah pengundi lelaki ialah 912, 121 dan pengundi wanita 937,463. Walaupun kini jumlah pengundi di Johor telah meningkat kepada sekitar 2.5 juta orang, saya percaya nisbah antara lelaki dan wanita adalah seimbang.

“Dengan jumlah pengundi yang seimbang ini, memperuntukan sekitar 30 peratus calon PRN Johor dalam kalangan wanita bukan sesuatu yang terlalu besar untuk dipertimbangkan. Malahan, tanda aras 30 peratus calon wanita ini boleh memberi kelebihan kepada parti untuk mendapat sokongan wanita dan orang muda.

“Pemilihan lebih ramai wanita sebagai calon juga akan memberi semangat yang lebih kepada jentera wanita bekerja. Sudah menjadi rahsia umum bahawa wanita Umno merupakan antara senjata parti yang paling ampuh dalam setiap kali pilihan raya.

“Biar sebesar mana isu dan cabaran, wanita UMNO tetap meredah ‘onak dan duri’ berkempen dari rumah ke rumah dan merayu undi sehingga saat akhir,” ujar Mastura.

Pun begitu kata beliau lagi, pada masa yang sama pemilihan calon wanita haruslah berdasarkan merit dan kebolehan untuk menjadi wakil rakyat, bukannya sekadar kerana kedudukan dalam parti dan lobi politik.

“Dengan kata lain, biarlah pemilihan calon-calon wanita untuk BN mencerminkan keupayaan dan kebolehan sebenar wanita negara.

“InsyaAllah kita mempunyai ramai wanita Johor yang berkebolehan dan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negeri Johor jika diberi kepercayaan. Moga di permudahkan,” ucap Mastura. – Suara TV

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top