Pertemuan Bersama Hajiji Bukan Lompat Parti – Calvin Chong

calvin-hajiji.jpg

Calvin (kiri) bersama Justin (kanan) dalam satu pertemuan dengan Hajiji baru-baru ini.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pertemuan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bukan untuk melompat parti sebaliknya ingin membangkitkan tentang masalah rakyat di kawasan.

Demikian penjelasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong yang merupakan bekas pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Saya perlu jelaskan, saya bersama ADUN Sri Tanjong, Justin Wong berjumpa Ketua Menteri untuk menjalankan tugas sebagai ADUN bukan untuk lompat parti bagi menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Calvin berkata, beberapa hari lalu, beliau menerima laporan daripada Hajiji mengenai beberapa isu dan rancangan sara hidup rakyat di kawasan Elopura.

Sebelum ini, beliau juga telah menyuarakan isu dan rancangan ini kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan beliau juga telah memberi maklum balas yang positif pada masa itu.

Isu yang dibangkitkan termasuk Terminal Bas Bersepadu Sandakan, Pasar Muhibbah, Cukai Jualan Negeri (CJN) nelayan kecil, pendatang asing tanpa izin dan juga 13 projek pembinaan jalan pintas yang dicadangkan sebelum ini, namun masih belum ada sebarang perkembangan dan maklum balas mengenai pelaksanaannya.

Beliau menegaskan, sudah menjadi kewajipan bagi wakil rakyat untuk berjumpa dengan Ketua Menteri dan membincangkan isu-isu rakyat dan mencari jalan penyelesaiannya.

“Saya bukan “melompat parti” seperti yang dikhabarkan,” jelasnya.

Menurutnya, isu berkaitan sara hidup rakyat perlu dibangkitkan bagi membolehkan rancangan pembangunan termasuk pembinaan pelabuhan perdagangan bebas dapat dilaksanakan di Sandakan pada masa akan datang.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top