Pertarungan BN, PN: Pecah dulu, gabung kemudian? – Penganalisis

PN-and-BN.jpg
Kongsi Bersama

Pertembungan rakan sekutu yang membentuk kerajaan pusat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini menjadi medan buat Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menguji kemampuan masing-masing.

Menyedari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah semakin hampir, BN yang diketuai Umno berusaha untuk membuktikan parti itu masih mendapat tempat di hati rakyat dan Melaka menjadi medan utama buat parti itu berbuat demikian.

Pendekatan sama digunakan PN ditunjangi Bersatu, yang ingin membuktikan gabungan itu bukanlah gabungan picisan dan boleh mendapat kepercayaan rakyat sepertimana BN.

Pun begitu, langkah yang diambil kedua-dua pihak juga amat dibimbangi ramai pihak kerana boleh membawa risiko besar memandangkan landskap politik negara yang kurang stabil selepas PRU14 memandangkan tiada parti yang merupakan parti dominan.ADS

Pertembungan dalam PRN Melaka juga bukan sahaja menguji hubungan antara BN dan PN, bahkan hubungan antara Umno dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) yang telah menyaksikan pelbagai kejayaan ditempa dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU14.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain yang bersetuju PRN berkenaan digunakan bagi menguji kekuatan parti berkata pertembungan itu akan menimbulkan persoalan bagaimanakah corak kempen yang bakal dibawa kedua-dua pihak.

“Adakah kempen mereka akan lebih menjurus kepada mempromosikan kekuatan parti atau pun menjatuhkan blok lain. Itu yang kita nak tahu.

“Saya menjangkakan tindakan seperti ini akan memberi kesan di peringkat Persekutuan dan mereka berkemungkinan akan bergabung selepas pilihan raya untuk membentuk kerajaan sekiranya gagal memperoleh majoriti,” katanya kepada Bernama.

Katanya, untuk kelangsungan parti, calon muka baru dan muda dipertaruhkan pada PRN kali ini bagi menambat hati pengundi selain mahu menonjolkan bahawa parti benar-benar berubah dan responsif terhadap selera dan kehendak rakyat.

Pemerhati politik juga melihat pertembungan berkenaan di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai strategi untuk meyakinkan akar umbi terhadap kemampuan kepimpinan parti dalam merencanakan masa depan dan hala tuju parti.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka Shafezah Abdul Wahab berkata pertembungan tiga penjuru khususnya membabitkan Umno dan Bersatu dilihat sebagai persaingan untuk membuktikan parti Melayu mana yang lebih diyakini rakyat khususnya di Melaka.

“Senario pencalonan PRN Melaka yang membawa kepada pertembungan tiga penjuru ini mungkin akan berlarutan dalam PRU15 apabila tidak wujud pakatan pilihan raya khususnya antara Umno dan Bersatu.

“Keputusan PRN Melaka juga akan memberi gambaran sebenar hala tuju Bersatu dan PAS pada PRU15,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata pertembungan itu juga akan membolehkan kedua-dua pihak mengkaji semula keperluan untuk duduk bersama pada masa akan datang.

PAS, Umno, Bersatu bentuk k’jaan lepas p’raya

Pun begitu, PN dan MN menurutnya berkongsi nilai sama iaitu Melayu dan Islam malah dilihat tidak boleh berada di dalam PH kerana bertentangan ideologi yang diperjuangkan.

“Dalam konteks Melaka, saya melihat (mereka) ambil pendekatan pecah dahulu, gabung kemudian.

“Umno, PAS dan Bersatu sedaya upaya (akan) membentuk kerajaan bersama selepas pilihan raya kerana kuasa politik itu penting untuk parti-parti politik seluruh Malaysia,” katanya semasa menjadi tetamu rancangan Liputan Khas Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri Melaka terbitan Bernama TV hari ini.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terdiri daripada Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top