Pertambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak cermin keihklasan PM

MA63-meeting.jpg

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua,kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya pada 20 Januari lalu. FOTO: BERNAMA

Kongsi Bersama

KUCHING: Pertambahan kerusi Parlimen amat penting bagi Sarawak termasuk Sabah, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah,

Kata Abdul Karim, ini sejajar status sama taraf dua negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Justeru, beliau berharap agar pindaan Rang Undang-Undang (RUU) persempadanan semula bagi kedua-dua negeri itu diluluskan dengan kadar segera di Parlimen.

“ini dapat melindungi hak kedua-dua wilayah yang termaktub di dalam perlembagaan.

“Apa yang penting, keikhlasan dan kejujuran dalam memulakan proses itu,” katanya ketika mengulas mengenai kemungkinan Sarawak dan Sabah masing-masing akan mendapat tambahan 12 kerusi seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Penambahan kerusi akan menjadikan jumlah keseluruhan kerusi bagi kedua-dua negeri tersebut lebih 35 peratus.

Ini sekali gus mencapai lebih dua pertiga iaitu satu posisi yang amat penting dalam memastikan hak-hak Sarawak dan Sabah terus dipelihara di peringkat Parlimen.

Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan akui proses tersebut akan memakan jangka masa yang agak lama namun beliau optimis perkara itu dapat dicapai susulan hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Pada September 2022, Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dilaporkan memperakui langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Perakuan itu menyaksikan kedua-dua negeri bakal memiliki 78 daripada 222 kerusi Parlimen.

Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak (24).

Terkini, 166 atau 75 peratus daripada 222 kerusi Parlimen di Semenanjung, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi untuk negeri-negeri Borneo iaitu Sarawak (31) dan Sabah (25).

Pada Oktober, dilaporkan PBB akan menubuhkan jawatankuasa memaju cadangan penambahan kawasan Parlimen di Sarawak.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata cadangan itu sejajar dengan MA63 dan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – Berita RTM

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top