KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengulangi bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus dipertahankan dalam apa juga keadaan sekalipun, untuk mengelakkan berlaku pilihan raya negeri sekali lagi.
Ini di samping mahukan BN Sabah terus memperkasakan parti untuk memastikan ia akan terus dan sentiasa relevan dan boleh diterima oleh rakyat dalam apa keadaan sekalipun.
“Kerana kita tidak mahu ada pilihan raya berlaku. Sebab kita di Sabah baharu sahaja mengadakan pilihan raya, baharu setahun lebih. Jadi kalau ada lagi pilihan raya, sudah tentu tidak menyenangkan rakyat dan rakyat akan marah dengan kita.
“Sebab itu saya telah mengambil pendekatan untuk pastikan bahawa kerajaan yang kita bina ini akan terus mendapat sokongan daripada rakyat,” kata Bung Moktar, yang juga Ketua Umno Sabah.
Ini berikutan perkembangan masa kini yang amat mencabar, terutamanya di peringkat nasional.
“Kalau kita lihat perkembangan politik nasional memang hampir setiap hari ada sahaja isu-isu yang berbangkit. Tetapi kita jangan terikut-ikut dengan rentak yang berlaku.
“Dalam konteks Sabah, kita harus pertahankan kerajaan GRS ini dalam apa keadaan sekali pun. Sebab kita tidak mahu ada pilihan raya berlaku. Selebihnya kita akan tunggu perkembangan-perkembangan yang akan berlaku,” katanya.
Kerajaan Negeri GRS ditubuhkan bersama oleh BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bekerjasama di bawah GRS menumpaskan Kerajaan Negeri Warisan Plus di Pilihan Raya Ke-16 (PRN16) pada bulan September, 2020.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya berkata demikian semasa berucap di program tahunan pengagihan buah limau mandarin sempena Tahun Baharu Cina 2022 kepada parti komponen BN Sabah iaitu MCA Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang diadakan di Bangunan Umno Sabah di sini hari ini.
Buah limau mandarin yang diagihkan diterima oleh Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung dan Penasihat PBRS, Datuk Vincent Shia, yang mewakili Presiden parti.
Bung Moktar juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa BN Sabah akan membantu jentera-jentera pilihan raya untuk memastikan kemenangan rakan-rakan mereka di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Sudah tentu BN Sabah juga akan membantu jentera-jentera pilihan raya untuk memastikan kemenangan rakan-rakan kita di sana,” katanya.
Mengenai Tahun Baharu Cina 2022, Bung Moktar berharap tahun ini yang merupakan Tahun Harimau mengikut kalendar Cina akan memberikan banyak manfaat kepada perjuangan bersama.
“Saya faham bahawa kita di Sabah ini adalah sebahagian daripada Kerajaan. Kita buatlah apa yang patut untuk membantu membangun negeri Sabah,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Yakub Khan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.