Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yakin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu bertahan jika semua parti gabungan dan wakil rakyatnya dapat berkerja dalam satu pasukan dalam memenuhi aspirasi rakyat di negeri ini.
Katanya, walaupun kerajaan sekarang dibentuk oleh sembilan buah parti gabungan dan dianggap rapuh, namun jika ada kesepakatan yang padu di kalangan anggota serta wakil rakyatnya tidak ada sebab gabungan ini tidak mampu bertahan.
“Rakyat telah meletakkan kepercayaan serta aspirasi yang tinggi kepada kerajaan yang ada hari ini, justeru kita perlu menghargai kepercayaan tersebut dengan kesungguhan berkerja untuk memajukan Sabah dan melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajkan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan program “Retreat Backbenchers” di Kudat Golf and Marina Resort malam tadi.

AMANAT…Bung ketika berucap merasmikan majlis tersebut.
Hadir sama Pengerusi Kelab Backbenchers Kerajaan GRS Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Tun Said Keruak, penceramah jemputan Datuk Md Alwi Che Ahmad serta ADUN-ADUN GRS.
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya bagi mewujudkan kerajaan yang stabil ianya menuntut kebersamaan semua pihak dalam menghadapi krisis yang dihadapi negara.
“Kebersamaan serta kerjasama ini amat penting untuk menstabilkan negara di saat krisis politik, kesihatan serta situasi ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Bung, dalam memenuhi aspirasi rakyat kepada kerajaan maka pendekatan baharu perlu diambil dengan meninggalkan amalan lama, seperti mengumumkan tetapi tidak komited untuk melaksanakannya.

BERSEMANGAT… Md Alwi semasa menyampaikan ceramah di program ‘Retreat Backbenchers’ di Kudat Golf and Marina Resort.
“Rakyat kini begitu matang berfikir dan menilai tindakan kerajaan dan wakil rakyat, mereka tidak lagi terbuai dengan pengumuman berapa banyak peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan tapi apa yang mereka harapkan adalah umum dan tindakan segera melaksanakannya,” katanya.
Bung mengakui Sabah terlalu jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan insfrastruktur, kesihatan, pendidikan dan lain lain. Dusebabkan itu beliau lantang menyuarakan isu-isu serta hak- hak rakyat Sabah terutamanya dalam aspek pembangunan di Dewan Rakyat untuk diambil perhatian dan tindakan segara kerajaan pusat.
“Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat saya memang lantang membawa isu-isu pembangunan di Sabah namun saya terkilan setiap isu yang berhubung kait dengan kepentingan rakyat di Sabah amat jarang ADUN-ADUN Sabah tampil membuat kenyataan menyokong apa yang saya suarakan seolah-olah memberikan gambaran kita tidak bersatu dalam memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat di negeri ini,” jelas Bung.
Dalam pada itu Bung yang juga Adun Lamag mahu setiap ADUN GRS turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan semasa sidang DUN Sabah.
Katanya mereka (ADUN) bukan sahaja berbahas membawa isu-isu di kawasan tapi perlu membawa isu-isu yang lebih relevan dengan kepentingan rakyat dan negeri.
” Kita perlu menjadi (ADUN) yang berilmu pengetahuan berasaskan fakta bagi menangkis provokasi dan propaganda yang dibawa oleh parti lawan kepada kerajaan semasa sidang DUN, jika kita biarkan ianya memberikan persepsi yang negatif kepada kerajaan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, menurut beliau, melalui Program Retreat Backbenchers ADUN GRS itu diharapkan akan dapat memberikan sedikit panduan kepada para ADUN tentang ilmu perbahasan di samping menjadi platform untuk bertukar-tukar pandangan dan idea bukan sahaja untuk pembangunan di kawasan masing-masing, tetapi di Sabah secara keseluruhannya.