Pertahan Budaya Demi Generasi Akan Datang – Dr Jeffrey

dr-jeffrey-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Mempertahankan budaya bukan bermaksud berfikiran sempit, tetapi keinginan untuk menjamin agar generasi akan datang tidak melupakan identiti mereka sendiri.

Presiden Pertubuhan Dayak Antarabangsa (DIO), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, bagi masyarakat Kadazandusun, Pesta Kaamatan adalah salah satu asas komuniti yang memperingati semangat Bambazon iaitu sumber kerohanian Kadazandusun.

“Dalam memahami budaya, kita harus mementingkan adat, dan ini harus dijadikan landasan sistem keadilan bagi masyarakat untuk memastikan kejayaan membangun masyarakat yang harmoni,” katanya.

Dr. Jeffrey membuat kenyataan tersebut ketika menggulung Webinar ‘Unduk Ngadau: Tradisi dan Amalan Budaya Masyarakat Kadazandusun’ yang diadakan sempena Hari Orang Asli Sedunia semalam.

Beliau berkata para panelis menunjukkan bagaimana adat dan budaya masyarakat dibentuk oleh sistem kepercayaan, mitos, dan peranan yang dimainkan oleh lelaki dan wanita di dalam komuniti.

“Semua tradisi ini berakar umbi dalam kehidupan setiap anggota masyarakat dan akan terus mempengaruhi tingkah laku dan perspektif mereka terhadap kehidupan walaupun mereka telah memeluk sistem kepercayaan atau agama lain,” katanya.

Dari segi kesetaraan gender, Kitingan berkata Unduk Ngadau harus dilihat sebagai penghormatan kepada semangat Huminodun, dan bukan sebagai sesuatu yang mudah dieksploitasi atau menjadi mangsa seksisme.

Beliau menekankan bahawa pada masa lalu, wanita mempunyai tanggungjawab utama dalam menjaga kesejahteraan rohani dan kesihatan masyarakat Kadazandusun.

“Unduk Ngadau dimaksudkan untuk menggambarkan wanita sebagai simbol kecantikan dan kecerdasan. Penjernihan persepsi mengenai pertandingan ini sangat penting dalam mengangkat martabat wanita dalam masyarakat,” katanya.

Dr. Jeffrey mengucapkan tahniah kepada penganjur dan panelis webinar dan berharap agar lebih banyak program yang bertujuan untuk memahami adat dan amalan, kepercayaan, dan budaya masyarakat Orang Asal akan dibuat di masa depan.

 

Foto: Jeffrey G. Kitingan Page


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top