Persidangan UMNO Cawangan Kukuhkan Muafakat, Bina Kekuatan Berpasukan – Bung Moktar

bung-3.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Mesyuarat UMNO cawangan-cawangan yang bermula hari ini (15 Oktober ) adalah peluang kepada seluruh kepimpinan dan ahli akar umbi mengaplikasi semangat yang sedang membara agar dapat digembleng menjadi kekuatan bersama untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, mesyuarat UMNO cawangan  menjadi tumpuan ahli khususnya akar umbi untuk hadir dengan penuh semangat bagi memperbaiki parti dan meneruskan perjuangan demi  agama, bangsa dan negara.

“Kekuatan UMNO itu secara keseluruhannya bermula dari akar umbi, selepas kita laksanakan mesyuarat cawangan segala isu yang dibangkitkan akan dibawa ke  peringkat bahagian dan fokus kita pada bahagian sangat penting agar strategi terbaik dapat diangkat.”

Sehubungan itu, beliau berkata, walaupun persidangan cawangan-cawangan UMNO berjalan dalam keadaan negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19 ianya bukan penghalang untuk ahli meneruskan agenda perjuangan parti.

“Selain pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan, laksanakanlah mesyuarat dengan penuh semangat, berdispilin dan sentiasa menjaga imej parti,” katanya dalam perutusannya sempena mesyuarat perwakilan cawangan cawangan UMNO yang akan  berlangsung di seluruh negara bermula 15 Oktober dan berakhir pada 30 November depan.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, pemimpin serta ahli UMNO di peringkat akar umbi perlu terus  membina kekuatan keseluruhan jenteranya dan menyemarakkan semangat perjuangan ahli-ahli parti selepas teruji oleh keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Saya harap kepimpinan UMNO baik di peringkat cawangan dan bahagian perlu  menekankan kerja berpasukan dalam memimpin UMNO ke arah kecemerlangan,” katanya

Jelasnya, peranan kerja berpasukan sangat penting untuk gerak kerja dan strategi yang dirancang antara pucuk pimpinan bahagian bersama akar umbi baik di peringkat Parlimen mahupun kawasan Daerah Undangan Negeri (DUN).

“Kita ketepikan dulu soal jawatan dalam bahagian atau soal calon pada PRU akan datang kerana yang penting kita perkemaskan jentera parti bagi menjamin kemenangan ketika berhadapan PRU nanti,” jelas Bung .

Dalam pada itu Ketua UMNO bahagian Kinabatangan itu juga mengingatkan ketua-ketua cawangan UMNO agar mengenal pasti ahli-ahli mereka yang masih berdaftar di peringat cawangan.

Tambah Bung, keahlian parti di peringkat cawangan perlu dikemaskini bagi  memudahkan gerak kerja semasa  PRU selain dapat menyemak status ahli yang sebenarnya kerana sebelum ini timbul aduan dari ahli UMNO cawangan-cawangan  yang nama mereka didaftarkan menjadi ahli parti lain di luar pengetahuan mereka.

“Data keahlian ini penting bukan sahaja untuk gerak kerja parti tetapi juga memudahkan  parti membantu ahli-ahli parti yang berhadapan musibah dan sebagainya dapat dibantu serta merta,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top