Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mahu Pergerakan Wanita,Pemuda,Puteri dan bahagian-bahagian UMNO di Sabah yang sedang bermesyuarat ketika ini agar memberi tumpuan pada soal persiapan menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15)
Menurutnya dalam tempoh yang semakin singkat menjelang (PRU15) perkara itu perlu diberi keutamaan.
“PRU kali ini kita membawa misi yang cukup penting iaitu untuk menang, justeru pendekatan serta cara kita berkerja adalah untuk menang, persediaan logistik, strategi, dan pusat-pusat daerah mengundi yang sudah dibentuk perlu berada di tahap kesiapsiagaan untuk menunggu semboyan PRU dibunyikan,” katanya dalam satu perutusan sempana persidangan UMNO bahagian-bahagian di Sabah yang sedang berlangsung ketika ini.’]
Menurut Bung dalam mesyuarat kali ini tidak ada pemilihan jawatan, oleh itu tumpuan perlu diberi untuk membentuk satu kesatuan yang kukuh dan padu bagi menghadapi PRU15.
Bung berkata setiap bahagian seharusnya sudah melancarkan jentera kerana pilihan raya semakin hampir.
“PRU-15 semakin hampir, tak kira bila tarikhnya yang pasti semakin hampir, bukan semakin jauh,” katanya.
Dalam pada itu Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno meminta pemimpin Umno di semua peringkat bangkit menjadi benteng mempertahankan parti dan kepemimpinan daripada terus diserang pembangkang.
Katanya, peranan serta tanggungjawab ini perlu dipikul bersama bagi membolehkan ahli akar umbi UMNO tidak keliru dan terjebak dalam perangkap pembangkang yang menabur pelbagai fitnah serta tohmahan terhadap parti.
“Ketua cawangan dan akar umbi UMNO tidak boleh hanya mengharapkan pemimpin pusat dan ketua bahagian memberi penjelasan, sebaliknya perlu proaktif memastikan maruah parti tidak terus dicemari, kekuatan parti di akar umbi tidak boleh diambil mudah dan dikompromi, apatah lagi jika ahli masih keliru dan hilang keyakinan terhadap parti,” katanya
Menurut Bung lagi pada zaman kemajuan teknologi maklumat ini terutamanya dengan meluasnya penggunaan media sosial, pihak pembangkang telah memanafaatkan kemajuan ini untuk menabur fitnah dan propaganda kepada pemimpin dan parti dan dalam hubungan ini Pemuda dan Puteri UMNO juga perlu lebih agresif ‘bertempur’ dalam peperangan di platform-platform berkenaan.
“Jangan asyik mempromosi diri kita dengan program-program yang diadakan dan asyik pertahan diri, kita perlu serang mereka kerana pembangkang lakukan banyak kesalahan tapi kita pula tidak ambil kesempatan menyerang membuatkan seolah-oleh mereka bersih,” katanya.
Bung turut melahirkan harapan agar semua mesyuarat bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri dapat dilaksanakan secara teratur dan penuh dengan semangat perpaduan bagi memastikan keutuhan parti terus terpelihara.