Persiapkan Diri Sebelum Ke Tanah Suci – Shahelmey

shahelmey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bakal jemaah haji Sabah dinasihatkan untuk terus mempersiapkan diri sepenuhnya sebelum ke tanah suci.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, ibadah haji merupakan perjalanan rohani yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan persediaan ilmu pengetahuan yang jelas.

“Sebelum berangkat ke tanah suci, bersihkan niat dan gunakan tenaga dan masa yang ada untuk melaksanakan amal ibadah secukupnya sebagai persediaan untuk mendapatkan haji yang mabrur.

“Gunakan masa sebaiknya untuk memperbanyakkan ibadah, berjemaah di masjid, memperbanyakkan amalan sunat, membaca Al-Quran dan berzikir.

“Saya juga ingin menyeru bakal-bakal haji semua untuk saling berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain,” ujarnya ketika merasmikan Kursus Perdana Haji Musim Haji 1444H/ 2023M Zon Pantai Barat di Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Sabtu.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya turut mengingatkan kepada bakal haji untuk menjaga keselamatan dan kesihatan diri ketika berada di Kota Makkah dan Madinah.

Antara peserta Kursus Perdana Haji Musim Haji 1444H/ 2023M Zon Pantai Barat di Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

“Cuaca pada tahun ini juga jelas semakin panas, oleh itu persiapan diri amat penting, kita pasti tidak ingin ibadah kita terganggu sekiranya menghadapi kesulitan dalam kesihatan dan keselamatan.

“Namun saya pasti pihak Tabung Haji telah bersedia untuk menjaga kebajikan dan keselamatan semua jemaah haji Malaysia.

“Oleh itu, jika ada sebarang kemusykilan dan ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan dan prasarana yang disediakan oleh Tabung Haji, pastikan komen dan maklum balas disampaikan ke saluran yang betul bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” tambahnya.

Pada tahun ini, seramai 31,600 jemaah Malaysia akan ke tanah suci dan kursus persediaan haji yang dilaksanakan memberi peluang kepada bakal haji untuk bertanya dan mendapatkan kefahaman tentang sebarang kemusykilan berkaitan ibadah haji.

Hadir sama, Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (LTH), Tengku Aziz Raja Abdullah, Yang Di-Pertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Rose Nani Mudin, Pengarah JAKIM Sabah, Datuk Norjeli Dais, Pengarah Wilayah Tabung Haji Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said, Timbalan Naib Canselor UMS, Prof Madya Dr. Rahman Noordin, Ketua Pegawai Eksekutif KTYS, Samin Ongki, Pengarah Tabung Haji Sabah, Yusdi Nasib dan Pengarah Pusat Islam UMS, Dr. Sarip Adul.

Seramai 500 bakal haji dari zon Pantai Barat menghadiri kursus dua hari anjuran (LTH) dengan kerjasama Pusat Islam UMS itu yang bermula pada Sabtu. –JAPEN SABAH

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top