Persiapan kembara kenali Borneo Sabah capai 90 peratus

shahelmey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Persiapan Program Kembara Kenali Borneo Negeri Sabah kini mencapai 90 peratus, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir. Shahelmey Yahya.

Menurutnya, persiapan yang dilaksanakan dengan penyelarasan oleh pihak Istana Negara, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu berjalan lancar dan teratur.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berharap menerusi program kembara tersebut komitmen kerajaan persekutuan untuk menyalurkan peruntukan bagi penyelenggaraan jalan persekutuan di Sabah dapat ditingkatkan.

“Dalam Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, jajaran yang digunakan adalah jalan persekutuan dari Tawau hingga ke Sindumin yang mana jalan ini merupakan jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah yang sekarang ini sedang dinaik taraf secara berperingkat-peringkat.

“Sejak tahun lepas, beberapa kawasan terutama di antara Ranau sehingga ke Kinabatangan agak teruk, berlubang-lubang sehingga dimainkan oleh netizen sebagai jalan permukaan bulan.

“Namun demikian, berdasarkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang diberi, maka keadaan jalan yang berlubang telah dapat diperbaiki mungkin tidak 100 peratus tetapi dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa.

“Jadi, kita berharap hasil daripada lawatan Yang di-Pertuan Agong serta rombongan, mereka akan dapat melalui jalan yang selesa dan seterusnya dapat meningkatkan lagi komitmen daripada kerajaan persekutuan untuk menyalurkan peruntukan yang sewajarnya dalam usaha untuk menyelenggara jalan-jalan persekutuan yang ada di Sabah.

“Umum mengetahui, jalan-jalan ini sepatutnya sudah dinaik taraf sejak projek LPB bermula pada 2016, namun atas beberapa faktor yang telah melewatkan ataupun menjejaskan prestasi pelaksanaan projek tersebut.

“Kita berharap agar komitmen daripada kerajaan perpaduan sekarang, projek LPB Fasa 1 ini akan dapat dimulakan pelaksanaanya selewat-lewatnya sebelum penghujung tahun ini,” ujar beliau dalam sidang media di pejabatnya, pada Selasa.

Dedah Shahelmey, program kembara akan berlangsung dari 3 hingga 13 September ini melibatkan Sabah dan Sarawak melalui Lebuhraya Pan Borneo.

“Bagi Negeri Sabah, program akan bermula di Tawau pada 3 September ini. Dari Tawau, rombongan akan singgah di Lahad Datu dan bermalam di Sandakan.

“Rombongan bergerak ke Daerah Telupid dan Ranau sebelum bermalam di Ranau dan seterusnya menyambung perjalanan ke Bandaraya Kota Kinabalu dan bermalam di Kota Kinabalu.

“Pada 7 September, rombongan Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Penampang dan Sipitang sebelum menyeberangi sempadan untuk memasuki Sarawak dan Negara Brunei Darussalam,” jelas beliau. –JaPen Sabah/Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top