Persempadanan baharu kawasan pilihan raya perlu ada 1/3 kerusi Sabah, Sarawak – UPKO

ewon.jpg

Ewon ketika berucap pada Konvensyen UPKO Zon C di Penampang, semalam. (Kredit foto: Ewon Benedick Official Media)

Kongsi Bersama

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menegaskan pendiriannya untuk memastikan Sabah dan Sarawak memperoleh satu pertiga kerusi Dewan Rakyat menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan dibuat selepas ini.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata ia kerana tuntutan agar Sabah dan Sarawak diperuntukkan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat sudah lama disuarakan, namun sehingga kini masih tertangguh.

Beliau berkata, tuntutan satu pertiga itu adalah berdasarkan agihan asal kerusi Dewan Rakyat pada awal pembentukan Malaysia yang mana jumlah kerusi Parlimen di Sabah, Sarawak dan Singapura pada waktu itu mewakili satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kerusi seluruh negara.

“Pandangan saya keperluan memperoleh satu pertiga kerusi Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak sudah lama tertangguh kerana semasa kita membincangkan penubuhan Malaysia ada beberapa tuntutan daripada Sabah, Sarawak dan Singapura.

“Ia jelas dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) supaya komposisi kerusi Dewan Rakyat haruslah memberikan satu pertiga kepada negeri-negeri atau wilayah selain Semenanjung atau Tanah Melayu.

“Ertinya satu pertiga daripada kerusi daripada Sabah, Sarawak dan Singapura dan selepas Singapura keluar, komposisi kerusi Dewan Rakyat itu harus kekal sama. Malangnya, ia diubah dan memberi kelebihan kepada Semenanjung sehingga kini,” katanya pada Konvensyen UPKO Zon C yang merangkumi bahagian Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang, berharap dengan adanya sokongan parti politik dari Sarawak dan Sabah komposisi kerusi Dewan Rakyat dapat diperbetulkan semula.

Bagaimanapun, katanya, pengembalian agihan satu pertiga kerusi itu kepada Sabah dan Sarawak memerlukan pindaan dalam perlembagaan dan pindaan persempadanan pilihan raya.

“Saya difahamkan sudah ada perbincangan di antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Sabah berkaitan perkara ini dan saya menyokong sepenuhnya segala usaha yang dibuat untuk kita memastikan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat itu diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

“Saya juga menyokong Premier Sarawak dalam hal ini yang partinya telahpun menuntut, partinya telah meluluskan resolusi untuk menuntut satu pertiga kerusi Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga ahli Majlis Khas Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan ahli Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 berkata, antara agenda yang dibincangkan dalam jawatankuasa itu ialah tuntutan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat untuk kedua-dua negeri.

Katanya, beliau akan menggunakan platform itu untuk membangkitkan pendirian UPKO dan rakyat Sabah berkaitan dengan tuntutan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top