Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat negeri Sabah yang akan berlangsung di Padang Merdeka pada 16 September depan, pastinya menjadi detik yang paling dinanti seluruh rakyat Malaysia khususnya di Sabah
Bertemakan ‘Keluarga Malaysia,Teguh Bersama’ sambutan tahun ini juga tidak kurang meriahnya dengan pelbagai persembahan dan acara menarik seperti mana tahun-tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, menanti tarikh keramat 16 September itu, segala persiapan kini telah sedia sepenuhnya bagi memastikan kelancaran serta kemeriahan sambutan nanti.
Bung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah menjelaskan pemilihan tema kali ini menekankan usaha memupuk perpaduan, semangat cintakan negara dan menonjolkan nilai integriti serta jati diri dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut beliau Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni dijadualkan berangkat sebagai tetamu utama pada majlis yang bakal bermula jam 7 malam itu.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Isteri serta barisan jemaah kabinet negeri Sabah.
Memperincikan pengisian acara untuk sambutan kali ini Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, bagi menyemarakkan semangat patriotisme, konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 yang telah berlangsung sepanjang bulan kemerdekaan akan berakhir pada malam 16 September di mana ketua konvoi akan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Pelbagai program serta pertandingan lain turut diadakan sempena sambutan tahun ini dengan harapan ia dapat memupuk serta menyemai semangat patrotisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat di negeri ini,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Menurut beliau lagi antara program-program itu ialah Seminar Identiti Etnik Sabah Keluarga Merdeka, Pertandingan E-Culture Gaming Tik Tok Hari Malaysia Challenge, Program Info On Wheel Berjalan Teguh Bersama Pameran Kemerdekaan.
Selain itu Bung berkata program-program lain yang diadakan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah ialah majlis bacaan tahlil dan doa munajat Peringkat Negeri Sabah dan Khutbah Khas Solat Jumaat di seluruh masjid di negeri ini.
Bagi malam kemuncak sambutan pula antara acara yang bakal diadakan ialah persembahan khas dari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang akan menampilkan persembahan yang unik dan menarik bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” selain persembahan hiburan dari artis-artis tempatan.
Selain itu penyampaian Sijil Khas Penghargaan kepada atlet-atlet yang mengharumkan nama negeri dan negara, antaranya empat atlet yang memenangi pingkat emas dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 dan seorang atlet Juara Remaja Dunia dalam sukan Muaythai.
Sehubungan dengan itu Bung mengajak orang ramai khususnya yang tinggal di Kota Kinabalu dan sekitarnya hadir beramai-ramai bukan sahaja untuk memeriahkan sambutan kali ini tetapi juga menzahirkan rasa kasih sayang dan semangat patriotik kepada negara.