Persatuan Restoran Mohon Operasi 6 Pagi – 10 Malam

restoran.jpg
Kongsi Bersama

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) meminta kerajaan membenarkan agar waktu operasi restoran dilanjutkan dari jam 6 pagi sehingga jam 10 malam sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Presidennya, Jawahar Ali Taib Khan berkata, ia bagi membolehkan sektor restoran kembali pulih setelah merosot teruk gara-gara Covid-19, selain memudahkan pelanggan yang sukar mendapatkan makanan dalam tempoh operasi sekarang.

“Ia bagi membolehkan sektor itu kembali pulih susulan pandemik yang menyebabkan pendapatan harian merosot 80 peratus.

“Presma berharap lanjutan tempoh berkenaan bukan saja membantu peniaga, malah pelanggan yang turut berdepan kesukaran mendapatkan makanan pada waktu operasi 8 pagi hingga 8 malam seperti sekarang.

“Selain itu, Presma tiada sebarang masalah dengan pembelian secara bungkus kerana ia adalah langkah perlu bagi menghalang jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan semalam, mewakili 4,200 ahli persatuan yang mengusahakan 12,500 restoran di seluruh negara.

Negara kini berada di bawah PKP 3.0 sejak 12 Mei, disusuli dengan sekatan pergerakan penuh dari 1 Jun hingga 14 Jun, yang akan dilanjutkan lagi dua minggu sehingga 28 Jun.

Dalam Prosedusi Operasi Standard (SOP) terbaru, waktu operasi perniagaan termasuk restoran ditetapkan dari pukul 8 pagi hingga 8 malam sejak 25 Mei, dalam usaha kerajaan mengetatkan pelaksanaan PKP.

Selain itu, Presma turut membangkitkan isu bantuan, termasuk moratorium dan subsidi sewa.

“Pada masa ini Presma masih menunggu perkembangan mengenai moratorium automatik, subsidi sewa serta beberapa pengumuman lain yang berkaitan demi manfaat ahli.

“Presma juga akan merujuk isu lanjutan waktu operasi ini kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu terdekat,” katanya lagi.

Buat masa ini, moratorium pinjaman bank yang diumumkan kerajaan merangkumi golongan B40 dan pekerja yang hilang pekerjaan susulan pelaksanaan PKP, selain pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Ia mengundang kritikan banyak pihak yang menggesa moratorium automatik diberikan kepada semua pihak tanpa mengira kelas ekonomi, memandangkan semua golongan – termasuk M40 – turut terjejas dalam pelaksanaan PKP.

Kritikan itu datang daripada parti-parti politik, persatuan perniagaan dan NGO yang menggesa moratorium automatik dapat diberikan kepada semua.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top