ALOR SETAR: Kumpulan yang menyaman pemilik restoran nasi kandar kerana memulakan kluster Sivagangga Covid-19 di Kedah, memaklumkan mereka juga akan melakukan perkara sama terhadap seorang ahli politik kerana menyebabkan kluster baharu di Kulim selepas pulang dari Sabah baru-baru ini.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ahli politik itu cuai kerana gagal menjalani ujian saringan selepas pulang berkempen di Sabah, yang merupakan kawasan berisiko tinggi.
Kementerian Kesihatan berkata, kluster Bah Lunas dikesan di Kulim, menjadikannya zon kuning dengan 3 kes dikesan tengah hari semalam. Terdapat 809 kes di Kedah, dengan 475 pesakit menjalani rawatan dan 6 kematian setakat ini.
“Kami tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang melanggar SOP Covid-19 atau lalai, menyebabkan pengguna dan rakyat di Kedah menderita.
“Tuntutan saman itu akan dimulakan oleh penduduk Kulim terhadap ahli politik berkenaan. Mereka yang ingin menyertainya boleh menghubungi kami di Facebook atau 04 7718241,” kata Yusrizal kepada FMT.
Katanya, perniagaan yang terjejas disebabkan kluster baharu itu, dan ibu bapa pelajar SK Permatang Janggus di Butterworth juga akan menjadi sebahagian yang mengemukakan saman itu.
Ibu bapa pelajar terbabit juga terlibat kerana isteri ahli politik itu guru di sekolah berkenaan yang turut positif Covid-19.
Ini menyebabkan 396 pelajar disaring minggu lalu, dengan 71 didapati negatif sehingga semalam. Manakala yang lain masih menunggu keputusan.
Kawasan sekitar sekolah berkenaan menjadi kawasan larangan kepada umum selama seminggu bermula 1 Oktober lalu.
FMT menghubungi ahli politik berkenaan untuk mendapatkan penjelasannya.
Pada 19 Ogos, CAKE mengemukakan saman sivil berjumlah RM1.5 juta terhadap seorang warga India yang dikatakan sebagai penyebab kluster Sivagangga Covid-19 di Mahkamah Tinggi Alor Setar.. – FMT