Persatuan KDMR Suarakan Tak Puas Hati Kes Peguam Hina Unduk Ngadau Diselesaikan di Luar Mahkamah

ewon-ebin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Beberapa persatuan KadazanDusun Murut Rungus (KDMR) kelmarin, menfailkan kenyataan tuntutan di Mahkamah Anak Negeri (MAN) Tuaran terhadap seorang peguam Marcel Jude yang menyamakan pertandingan Ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau sebagai ‘pertunjukan lembu’.

Kesemua persatuan itu turut menyatakan ketidakpuasan hati yang kes Marcel itu diselesaikan di luar MAN.

Kenyataan tuntutan berkenaan dibuat Presiden Pertubuhan Dusun Sabah Bersatu (USDA) Datuk Ewon Ebin (gambar) yang mewakili 19 lagi persatuan lain.

Antara persatuan berkenaan ialah Angkatan Perpaduan Sabah, Kongres Momogun Nasional, Persatuan Dusun Luba Sabah, Persatuan Kebudayaan Lundayoh, Persatuan Tombonuo Sabah, Persatuan Suang Lotud, Persatuan Pengamal Adat Sabah, Persatuan Tatana Kebudayaan Sabah, Persatuan Penjajah dan Peniaga Kecil Pasar Besar Kota Kinabalu, Persatuan Kebudayaan Rungus Rungus, Persatuan Kimarangan Sabah, Persatuan Suku Kaum Dusun Subpan Segama, Lahad Datu Sabah, Persatuan Etnik Sonsogon Sabah, Persatuan Desanita, Persatuan Tinagas Zon Utara, Persatuan Tindal Sabah, Persatuan Komulakan Suang Lotud Tuaran dan Persatuan Tobilung Sabah.

“Hari ini (semalam), saya mewakili 20 persatuan KDMR lain memfailkan kenyataan tuntutan di MAN Tuaran terhadap Marcel Jude yang telah menghina masyarakat KDMR kerana kenyataannya terhadap pertandingan Unduk Ngadau pada Mei.

“Kami, persatuan-persatuan yang terlibat telah mengadakan perjumpaan pada 10 Julai lalu untuk membincangkan perkara itu dan kami sampai pada kesimpulan bahawa apa yang dilakukan Marcel adalah penghinaan besar terhadap masyarakat dan pelanggaran undang-undang adat, oleh itu, perkara itu harus dibawa ke MAN untuk pengadilan,” katanya.

Ewon berkata, keputusan untuk menyelesaikan perkara itu menerusi perjanjian antara Marcel dengan Persatuan Kebudayaan KadazanDusun (KDCA) dengan Marcel membayar ‘sogit’ tujuh ekor kerbau kepada masyarakat KDMR juga telah menimbulkan kerisauan meluas di kalangan seluruh masyarakat KDMR.

“Pendirian kami adalah bahawa mediasi seperti yang dibuat KDCA tidak sah secara hukum kerana tidak mematuhi prosedur yang tepat.

“KDCA hanya sebuah NGO dan oleh itu mereka tidak boleh mendakwa bahawa ia mewakili seluruh masyarakat dan selain itu, banyak persatuan etnik yang berkaitan dengan KDCA belum dibawa berbincang berhubung pengadilan atau persetujuan yang dibuat mereka,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden KDCA, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, Marcel bersetuju menyelesaikan perkara itu dengan membayar ‘sogit’ tujuh ekor kerbau kepada komuniti KDMR menerusi KDCA dalam tempoh 14 hari.

Selain itu, katanya, Marcel juga diwajibkan membuat permohonan maaf setengah muka surat dalam akhbar tempatan pilihannya.

“Persetujuan ini akan didaftar di Mahkamah Adat Penampang. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk tidak mencabar terma perjanjian itu dimana-mana mahkamah di Sabah,” katanya.

Jeffrey berkata, bagi pihak KDCA dan semua yang berkaitan dengan pertubuhan ini, mereka bersetuju untuk tidak membawa isu ini ke mahkamah kerana perkara ini sudah selesai, maka komuniti KDMR di Sabah juga diingatkan supaya tidak lagi membangkitkan isu ini.

Marcel mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada komuniti KDMR pada 14 Jun lalu kerana penghujahannya di mahkamah yang menyamakan pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau dengan pertunjukan lembu eksotik dan acara lelong. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top