Persatuan Gesa PKS Sabah Manfaatkan Digital Untuk Lebih Berdaya Saing

foo-ngee-kee.jpg

Foo

KOTA KINABALU: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah digesa mempertimbangkan untuk memanfaatkan teknologi digital untuk menjadi lebih berdaya saing pada 2023 ini.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sabah (PKS Sabah) Datuk Foo Ngee Kee berkata pendigitalan membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran.

Beliau berkata platform e-dagang membantu meluaskan akses pasaran dan meningkatkan jumlah jualan untuk menjana skala ekonomi.

“Mengguna pakai pendigitalan dan e-dagang akan membolehkan PKS menurunkan harga produk mereka dan menjana lebih banyak hasil jualan dan pendapatan bersih,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kata beliau, bagi PKS yang memulakan usaha perniagaan baharu, sewajarnya mempertimbangkan penggunaan aplikasi digital untuk menyediakan penyelesaian dan kemudahan kepada pengguna.

Beliau berkata terdapat pelbagai program bantuan kewangan dan latihan kemahiran yang ditawarkan oleh agensi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, oleh itu para pengusaha harus memanfaatkannya.“Dengan berlalunya tahun 2022, adalah perlu untuk memikirkan semula pencapaian dan cabaran yang dihadapi oleh industri di Sabah.

“2022 menyaksikan pembukaan semula ekonomi untuk Sabah dan Malaysia selepas pandemik Covid-19,” kata Foo.

Beliau berkata bagi PKS yang telah membuka semula perniagaan mereka, ramai yang masih dalam proses pemulihan.

Menurutnya, perniagaan makanan dan minuman yang banyak bergantung kepada pelanggan tempatan mempunyai daya pemulihan paling kukuh, manakala hotel yang bergantung kepada ketibaan antarabangsa mempunyai berkeadaan paling perlahan.

“Menjelang 2023, kita berharap dengan rekod tertinggi hasil negeri Sabah sebanyak RM6.6 bilion, Bajet negeri 2023 yang diluluskan sebanyak RM5.138 bilion, dan projek pelaburan yang dijamin di Sabah berjumlah RM33.4 bilion, akan ada lebih banyak peluang untuk PKS Sabah, ” kata Foo.

“Kami berharap kerajaan Sabah akan menyegerakan penyelesaian isu ketersambungan bagi mengurangkan kos logistik untuk memudahkan eksport dan import Sabah, terutama bagi produk pertanian,” katanya.

Beliau berkata PKS berharap kerajaan negeri menurunkan kos menjalankan perniagaan melalui langkah memudahcara prosedur permohonan lesen dan permit lain.

Mereka juga berharap akan ada bekalan buruh yang mencukupi pada kos yang berpatutan kepada PKS, kata Foo.

Beliau berkata sebarang kekurangan buruh selepas mempertimbangkan ketersediaan bekalan buruh tempatan perlu segera dipenuhi dengan pengambilan buruh asing untuk dibawa masuk melalui kelulusan yang sewajarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top