Persatuan Dusun Gesa Banci PATI Di Sabah

bobby-lewat.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Persatuan Dusun Sabah Bersatu (USDA) menggesa kerajaan membuat bancian bilangan pendatang tanpa izin (PATI) yang menetap di negeri ini.

“Jumlah pendatang tanpa izin di negeri ini mesti direkodkan dan diwartakan secepat mungkin,” kata Setiausaha Agung Usda Bobby Lewat (gambar) dalam satu kenyataan pada Jumaat.

“Ini perlu supaya bilangan warga tempatan dan warga asing dapat ditentukan dan dibezakan.”

Beliau turut menggesa kerajaan mencari jalan penyelesaian yang tuntas bagi menyelesaikan isu pendatang tanpa izin di negeri ini.

Bobby menegaskan kawalan sempadan yang ketat adalah penting untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke Sabah.

Mengenai cadangan terbaharu kerajaan persekutuan untuk mengeluarkan kad khas kepada pendatang tanpa izin, Bobby berkata beberapa isu penting perlu ditangani sebelum cadangan itu dapat disokong.

Ini termasuk memastikan warga asing yang diberikan kad khas tidak diberikan hak untuk mengundi mahupun hak untuk menuntut kewarganegaraan Malaysia.

Isu lain termasuk tidak membenarkan mereka bekerja dalam sektor awam dan perkhidmatan, mahupun memohon permit perniagaan dan mendapatkan tanah adat.

Bobby menambah kad itu mesti diperbaharui setiap tahun dengan bayaran dan hanya warga asing yang telah menetap di Sabah untuk tempoh masa tertentu akan diberikan kad.

“Warga asing yang tiada dokumen perjalanan yang sepatutnya ditangkap di Sabah mesti dihantar pulang ke negara asal masing-masing melalui saluran yang betul mengikut undang-undang sedia ada.

“Tindakan dan usaha ini memerlukan kesungguhan daripada pihak yang bertanggungjawab. Saya berharap semua pihak termasuk ketua kampung, ketua masyarakat, malah orang ramai memainkan peranan masing-masing dalam perkara ini,” katanya.

Bobby menambah kedaulatan Sabah telah lama tercemar dan sudah tiba masanya untuk kerajaan persekutuan dan negeri menyelesaikan perkara itu secara menyeluruh.

 

Berita asal: The Borneo Post


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top