Perpaduan semula jadi Sabah diterjemah melalui FTBC Pitas

Dr-jeffery-CNY-Pitas.jpg

PITAS: Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan menyifatkan perpaduan di Sabah sebagai satu keunikan semula jadi yang wujud dalam kalangan masyarakat negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Penutupan Festival Tahun Baru Cina (FTBC) Daerah Pitas di Dataran Terbuka Kampung Solimpodon Laut. Menurutnya, festival tersebut menjadi platform terbaik untuk mempromosikan perpaduan yang unik dan hanya terdapat di Sabah.

“Perpaduan memperkayakan rakyat kerana mereka dapat saling belajar dalam semua aspek termasuk budaya, tarian dan bahasa. Ini mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia ada,” katanya.

Jeffrey turut menegaskan kepentingan mengekalkan keunikan perpaduan tersebut. “Inilah keunikan Sabah dan peliharalah keunikan perpaduan ini!” ujarnya.

Beliau juga mengakui keunikan FTBC Pitas yang telah meraih pengiktirafan dari The Malaysia Book of Records (2016), Asia Book of Records (2019), dan WorldKings Book of Record (2024).

“Sejarah festival ini adalah contoh perjuangan. Jika mahu menjadi pemimpin, seseorang itu harus memiliki visi dan misi,” jelasnya.

Sehubungan itu, Jeffrey mengingatkan para pemimpin dan bakal pemimpin bahawa perjuangan memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan usaha untuk mencapai matlamat.

“Pemimpin yang mempunyai sikap dan ciri-ciri seperti ini amat diperlukan untuk mencapai matlamat mengembalikan hak-hak dan kuasa-kuasa kemerdekaan Sabah, terutamanya hak-hak dalam Perjanjian Malaysia yang masih Sabah perjuangkan.,” tambahnya.

Jeffrey juga berharap FTBC Pitas dapat diangkat sebagai festival unik dalam kalendar pelancongan Negeri Sabah.

“Saya berharap suatu hari nanti festival ini akan menjadi salah satu acara utama dalam kalendar pelancongan negeri. Tidak ada tempat lain di Malaysia yang mempunyai pencapaian seperti ini, hanya di Pitas dengan Dato’ Rudy Awah,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa festival ini tidak akan bertahan lama sekiranya tidak ada perjuangan untuk mengekalkannya.

Dalam majlis yang sama, Jeffrey turut menggalakkan pengusaha tempatan agar terus menghasilkan produk berkualiti dengan harapan dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau turut menyentuh isu banjir di kawasan tersebut dan memberi jaminan bahawa kerja-kerja pendalaman sungai akan diusahakan. Selain itu, beliau juga meluluskan serta-merta permintaan untuk pemasangan konkrit lantai di luar dewan sebagai langkah penambahbaikan infrastruktur.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Pitas merangkap Pengerusi Induk Sambutan FTBC, Asdi @ Mohd Faizal Bin Hussin dan isteri; Pengerusi Pelaksana FTBC Tahun 2025, Ng Loi Thau; Setiausaha Agung Parti StarSabah, Senator Edward Linggu Bukut; Pengurus Lembaga Padi dan Beras Sabah, Datuk Dr Madiyem Layapan; serta pemimpin-pemimpin tempatan dan ahli-ahli jawatankuasa sambutan FTBC Tahun 2025.

 

Sumber berita dan foto: Jeffrey G. Kitingan Page

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top