Perompak Letupkan Van Duit, Orang Ramai Tumpang Serbu

IMG_20220121_111648.jpg
Kongsi Bersama

CAPE TOWN: Satu video menunjukkan orang ramai berebut mengutip sejumlah besar wang tunai yang bertaburan atas jalan selepas sekumpulan perompak meletupkan sebuah van keselamatan berperisai di lebuh raya di Afrika Selatan.

Lapor Daily Mail, rakaman itu memaparkan seorang lelaki menyumbat wang tunai di dalam bahagian depan seluarnya manakala seorang lagi mengaut duit menggunakan kedua-dua tangannya.

Orang ramai bertindak menyerbu lokasi kejadian selepas sekurang-kurangnya 12 perompak yang memiliki senjata berkuasa tinggi menyerang hendap van keselamatan GS4 di jalan susur lebuh raya di Cape Town.

Dilaporkan, pemandu dan pengawal keselamatannya mengalami luka tembakan sebelum kumpulan perompak itu menggunakan bahan letupan yang kuat untuk meletupkan bahagian tepi dan pintu van bagi mendapatkan wang berkenaan.

Kejadian itu berlaku di pinggir bandar Cape Town kira-kira pukul 6.30 petang (waktu tempatan).

Selepas beberapa minit mengutip sebanyak mungkin wang tunai dari van tersebut, perompak berkenaan melarikan diri manakala pemandu kenderaan lain pula terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Orang ramai berpusu-pusu meninggalkan kereta mereka lalu berlari ke arah van keselamatan untuk mengambil dan mengisi wang tunai dalam poket, seluar serta beg galas.

Sepasukan polis tiba di lokasi kejadian dan melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta yang digunakan perompak untuk melarikan diri dan menahan empat suspek, manakala yang lain melarikan diri.

Polis Afrika Selatan juga memberi amaran kepada semua individu untuk memulangkan wang berkenaan ke balai polis atau berisiko ditahan kerana mencuri jika mereka dikesan berbuat demikian di lokasi kejadian.

Sumber: Utusan Malaysia


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top