Perobohan lebih 500 rumah haram atas tanah MUIS ditangguh

setinggan-labuan.jpg

Seorang kanak-kanak penghuni setinggan melalui kawasan struktur rumah yang dirobohkan susulan pelaksanaan Ops Pengusiran dan Roboh Penempatan Tidak Sah. - Foto BERNAMA

Kongsi Bersama

LABUAN: Kerja-kerja perobohan lebih 500 struktur haram di atas tanah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di Kampung Gersik di sini ditangguhkan kepada 28 Feb, 2024.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berkata keputusan itu susulan maklum balas kepada nasib penduduk terjejas dengan memberi mereka masa tambahan untuk mencari rumah alternatif.

Suhaili berkata beliau telah menghubungi pegawai MUIS mengenai perkara itu, menekankan perlunya empati dan kefahaman terhadap individu terlibat.

“Saya telah menyampaikan desakan menangguhkan perobohan itu kepada pegawai MUIS dan mereka bersetuju untuk melanjutkan (masa mencari rumah) hingga akhir Februari tahun depan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pada Sabtu, hampir seribu penduduk terjejas berkumpul di balai raya Kg Gersik untuk bertemu dengannya dan berkongsi kesukaran mereka mendapatkan rumah sewa mampu milik di tempat lain.

“Mereka ini akan kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata jika perobohan diteruskan, kerana mereka tidak mempunyai tempat perlindungan untuk keluarga mereka.

“Semasa menguatkuasakan undang-undang, penting untuk turut mempertimbangkan aspek kemanusiaan,” katanya.

Suhaili berkata hampir 100 peratus daripada lebih 3,000 orang yang menetap di tanah itu adalah rakyat Malaysia, kebanyakannya mempunyai anak yang masih bersekolah.

“Keluarga-keluarga ini telah menduduki tanah itu sejak 30 tahun lepas, keputusan untuk menangguhkan perobohan itu mencerminkan keseimbangan antara menguatkuasakan peraturan dan mempertimbangkan keperluan manusiawi mereka yang terjejas, memberikan mereka tempoh masa lebih panjang untuk mencari penyelesaian perumahan alternatif,” katanya.

Beliau berkata penangguhan itu hanya untuk rumah-rumah yang masih diduduki, rumah yang sudah dikosongkan dijadualkan untuk perobohan minggu depan.

MUIS memulakan proses perobohan pada 23 Nov lepas bermula dengan 45 struktur haram dan akan disambung semula Isnin ini.

Majlis itu telah mengeluarkan notis enam bulan kepada penduduk pada 22 Mei lepas dengan tarikh luput 22 Nov.

Ketua Penolong Setiausaha (Pelaburan) MUIS Putera Aliif Al’Ain Jasni berkata lebih 500 buah rumah dibina di dua plot tanah MUIS iaitu masing-masing berkeluasan 4.946 hektar dan 9.025 hektar. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top