KOTA KINABALU: Pekebun sayur di Kundasang mengalami penurunan 30% perniagaan tahun ini berbanding tahun sebelumnya berikutan permintaan pasaran yang merosot.
Presiden Persatuan Pengusaha Pertanian Kundasang Sabah, Simon Liong berkata, pendapatannya telah menurun sebanyak 30 peratus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Walaupun begitu, katanya, pekebun sayur lebih bernasib baik kerana masih dapat bertahan di tengah-tengah pandemik Covid-19.
“Pengusaha restoran dan mereka di sektor pelancongan lebih teruk terjejas.
“Banyak orang kehilangan pekerjaan. Saya pernah bertemu bekas pengurus bank yang datang ke Kundasang mengambil sayur-sayuran untuk dijual.
“Mereka yang bekerja makan gaji di kawasan bandar adalah orang yang terjejas teruk oleh wabak itu kerana mereka mempunyai komitmen kewangan, tetapi kehilangan pendapatan,” ujarnya.
Tanpa pelancong dan pengunjung restoran serta premis jualan makanan lainnya, permintaan untuk sayur juga menurun.
Namun, Leong berkata, tidak berlaku lebihan bekalan sehingga pekebun harus membuangnya sebagaimana yang terjadi pada bulan Mac lalu ketika perintah kawalan pergerakan mula diperkenalkan.
Ini kerana angin kencang pada bulan Oktober telah merosakkan akar sayur-sayuran dan membantutkan pertumbuhan, jelasnya.
“Kami telah kehilangan 40 peratus hasil kerana angin kencang.
“Ketika bekalan menurun, harga sayur-sayuran telah meningkat hingga 50 peratus, yang membolehkan kami menampung kos.”
Sebagai contoh, Leong berkata, harga kubis telah meningkat 40 hingga 50 peratus dari sekitar 80 sen sekilogram (kg) menjadi RM2 per kg, sedangkan tomato sekarang berharga RM3 berbanding RM2 per kg sebelumnya.
Leong berkata, 70 peratus Kundasang diliputi kebun sayur, yang merangkumi kawasan antara 2,000 hingga 3,000 ekar.
Dia menganggarkan terdapat sekitar 1,000 pekebun sayur di Kundasang.
Sumber: Borneo Post