KOTA KINABALU: Sabah memulakan 2023 dengan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menyambung semula perkhidmatan penerbangan dari Hong Kong ke negeri itu.
Penerbangan dengan penumpang seramai 138 orang itu disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Isnin.
AirAsia mengembalikan semula penerbangan dua kali seminggu (Rabu dan Ahad) dari Hong Kong ke Kota Kinabalu itu dengan jumlah kapasiti 372 penumpang seminggu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman berkata pihaknya berasa gembira beliau kerana AirAsia telah mengaktifkan semula laluan Hong Kong – Kota Kinabalu dengan menambah satu lagi sambungan penerbangan antarabangsa ke Sabah.
“Hong Kong adalah salah satu pasaran pelancongan sasaran utama kami. Ini adalah permulaan yang baik untuk industri pelancongan kita pada tahun 2023.
“Sabah mempunyai banyak pulau dan pantai yang indah, menjadikan ia destinasi pilihan untuk pengembara Hong Kong.
“Saya gembira kerana akhirnya, AirAsia telah mengaktifkan semula laluan Hong Kong-Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan.
AirAsia kini menghubungkan Kota Kinabalu ke lima bandar antarabangsa utama: Singapura, Manila, Bangkok, Taipei dan Hong Kong.
Dengan penyambungan semula laluan Hong Kong – Kota Kinabalu, Sabah kini menerima 64 penerbangan terus antarabangsa secara mingguan.
Penerbangan terus lain adalah dari Korea Selatan (29), Singapura (14), Filipina (enam), Brunei (lima), Taiwan (empat), Jepun (dua) dan Thailand (dua).
Dalam pada itu, Noredah turut berkata Sabah akan terus menambah baik akses ke negeri ini dengan menambah bilangan penerbangan antarabangsa dari bandar-bandar utama di luar negara.