PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa permohonan undi pos bagi pemilih dalam dan luar negara untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah, telah dibuka bermula hari ini.
Menurut Borneo Today yang memetik laporan Kosmo, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dilaporkan berkata, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah mengenai kekosongan bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri N.66 Bugaya, Sabah semalam.
“Tarikh tutup permohonan undi pos bagi dalam dan luar negara ini akan diumumkan selepas Mesyuarat Khas Urusan PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah pada 20 Oktober depan.
“Permohonan undi pos bagi Kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera, dan petugas media hendaklah memohon secara manual menggunakan Borang 1A yang dimuat turun dari portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, borang 1A itu seterusnya perlu dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan yang mana alamat dan maklumat pejabat tersebut boleh dirujuk di portal rasmi SPR.
“Bagi Kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan 1C iaitu agensi atau organisasi pula, permohonan hendaklah dikemukakan secara online melalui portal dengan pautan https://myspr.spr.gov.my/login,” ujar beliau.
Kerusi DUN Bugaya kosong berikutan kematian penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah akibat sakit buah pinggang pada 17 November 2020.