KOTA KINABALU: Semua sekolah bukan kerajaan dan pertubuhan keagamaan bukan Islam yang ingin memohon bantuan kerajaan negeri digesa supaya kemukakan borang permohonan sebelum sebelum 31 Mac depan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Roland Chia Ming Shen berkata borang-borang permohonan hendaklah dilengkapkan dan dihantar dengan kadar segera sebelum tarikh tutup.
Katanya, permohonan pemberian bantuan kewangan kerajaan negeri ini telah dibuka pada awal bulan Januari lepas.
“Borang permohonan boleh diambil dan dikembalikan di Bahagian Belanjawan, Kementerian Kewangan, Tingkat 5, Blok C, Menara Kinabalu, Jalan Teluk Likas, Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.
“Borang permohonan geran itu juga boleh diperolehi dan dimuat turun melalui web rasmi Kementerian Kewangan Negeri Sabah di www.mof.sabah.gov.my,” katanya dalam kenyataan media, di sini kelmarin.
Menurutnya, peruntukan bantuan kewangan kepada badan-badan beragama bukan Islam pada tahun ini adalah yang tertinggi iaitu sebanyak RM70 juta.
“Peruntukan ini telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada sidang belanjawan 2025.
“Semoga peruntukan yang disediakan ini dapat meringankan bebanan kewangan kepada badan-badan berkenaan,” katanya. – Utusan Borneo